KUALA LUMPUR, 27 Mei – Lebih 300 juta kanak-kanak menjadi mangsa eksploitasi dan penderaan seksual dalam talian setiap tahun, menurut penyelidik dari Universiti Edinburgh yang dipetik oleh media antarabangsa.

Menurut anggaran global pertama mengenai skala krisis itu yang diterbitkan hari ini, tiap satu daripada lapan (bersamaan dengan 12.6 peratus) orang kanak-kanak di dunia menjadi mangsa kepada perbualan tanpa izin, perkongsian dan pendedahan kepada imej dan video seksual tanpa persetujuan dalam setahun lepas, yang dianggarkan berjumlah 302 juta kanak-kanak.

Selain itu 12.5 peratus kanak-kanak di seluruh dunia (300 juta) dianggarkan telah mengalami permintaan seksual dalam talian, seperti perbualan seksual yang tidak diingini, yang boleh termasuk sexting tanpa persetujuan, soalan-soalan seksual yang tidak diingini dan permintaan perlakuan seksual yang tidak diingini oleh orang dewasa atau remaja lain.

Kesalahan ini juga boleh berbentuk ‘sextortion’ (pemerasan seksual), dengan pemangsa meminta wang daripada mangsa untuk memastikan imej peribadi, dan penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta bahan-bahan palsu.

Walaupun masalah ini wujud di seluruh dunia, penyelidikan mencadangkan bahawa Amerika Syarikat adalah negara berisiko tinggi, dengan satu daripada sembilan lelaki di Amerika Syarikat (hampir 14 juta) mengakui pernah melakukan kesalahan dalam talian terhadap kanak-kanak.

Inisiatif Childlight Universiti Edinburgh yang bertujuan memahami kelaziman penderaan kanak-kanak menerusi indeks global baharu “Into The Light”, juga mendapati bahawa tujuh peratus lelaki British (1.8 juta), serta 7.5 peratus lelaki di Australia, mengaku pernah melakukan kesalahan yang sama.

Ketua Eksekutif Childlight Paul Stanfield dalam mendedahkan betapa meluas bahan penderaan kanak-kanak tersebar menyatakan bahawa “bahan penderaan kanak-kanak sangat berleluasa, hinggakan fail secara purata dilaporkan kepada organisasi pemerhati dan kepolisan adalah sekali setiap saat.”

“Ini adalah pandemik kesihatan global yang terpendam terlalu lama. Ia berlaku di setiap negara dan berkembang pesat, yang memerlukan tindak balas global. Kita perlu bertindak segera dan menganggapnya sebagai isu kesihatan awam yang boleh dicegah, tidak boleh tunggu lagi,” katanya.

Laporan itu susulan amaran polis United Kingdom (UK) berhubung kumpulan penjenayah di Afrika Barat dan Asia Tenggara yang menyasarkan remaja Britain dalam penipuan pemerasan seksual dalam talian bulan lepas.

Agensi National Crime Agency (NCA) Britain (NCA) turut mengeluarkan amaran kepada ratusan ribu guru, menggesa mereka supaya peka dengan ancaman yang mungkin dihadapi oleh murid mereka.

Penipu sering menyamar sebagai orang muda lain untuk membuat hubungan di media sosial sebelum beralih ke aplikasi pesanan ‘encrypted’ dan menggalakkan mangsa berkongsi imej intim.

Mereka biasanya membuat tuntutan menerusi ugutan dalam masa sejam selepas dihubungi dan biasanya mengambil tindakan yang didorong oleh ugutan bagi memeras wang sebanyak mungkin daripada mencari kepuasan seksual, menurut NCA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here