GEORGE TOWN, 27 Mei – Menjadikan Pulau Pinang sebagai hab global dalam bidang industri berteknologi tinggi adalah antara usaha kerajaan untuk memastikan negeri tersebut kekal kompetitif dalam pembangunan sektor semikonduktor di peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata selain terus mengembangkan aktiviti elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor, kerajaan negeri juga memberi fokus dalam membangunkan rantaian bekalan untuk peralatan pembuatan bahagian hadapan dan menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta Reka Bentuk dan Pembangunan di Pulau Pinang.

“Pulau Pinang juga komited menggalakkan serta membantu lebih banyak syarikat tempatan melibatkan diri dalam rantaian nilai global untuk menggerakkan rantaian nilai serta memantapkan ekosistem sedia ada.

“Selain itu, kerajaan juga memupuk penyelidikan dan pembangunan, penggunaan teknologi dan inovasi terutamanya berkait dengan aspek pendigitalan kerana langkah ini mampu mengubah struktur perindustrian bernilai tinggi, mampan dan memberi manfaat kepada penjanaan pekerjaan mahir serta pendapatan,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubuk) mengenai usaha kerajaan negeri dalam memastikan Pulau Pinang kekal kompetitif dalam pembangunan semikonduktor di peringkat antarabangsa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Sementara itu, Chow (PH-Padang Kota) berkata Pelan Induk Strategik Semikonduktor yang dipelopori oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang dibangunkan bertujuan memberi hala tuju industri semikonduktor dalam negara supaya industri itu terus berkembang kepada aktiviti lebih bernilai tambah dan negara kekal sebagai tarikan pelaburan berkualiti di masa hadapan.

Katanya dalam melaksanakan hala tuju ini, peranan kerajaan negeri adalah penting terutamanya dalam memastikan masalah penubuhan kilang dan operasi syarikat sentiasa dipermudahkan di peringkat daerah dan negeri, serta diberi sokongan kemudahan utiliti dan infrastruktur yang terbaharu dan memenuhi aspirasi negara berlandaskan ekonomi hijau. 

“Buat masa ini, Pelan ini masih dalam proses fasa pembangunan MITI dan kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan dan jalinan kerjasama bagi menjayakan pelan ini,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here