SEREMBAN, 25 Okt — Kebimbangan dan ketakutan masyarakat terhadap risiko penularan wabak COVID-19 adalah sesuatu yang normal sebaik sahaja pelbagai sektor dibuka secara berperingkat sejak April lepas.

Tidak terkecuali dalam sektor pendidikan. Pelbagai reaksi diterima daripada orang ramai apabila kerajaan mengumumkan sesi persekolahan dibuka semula sepenuhnya pada Julai lepas, selepas hampir empat bulan ditutup berikutan ancaman wabak tersebut.

Di sebalik keputusan itu, ibu bapa tetap bimbang untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah apabila memikirkan mengenai aspek kebersihan, keselamatan dan kawalan penularan pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir.

Melihat kepada senario kebimbangan ibu bapa  itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) prokatif melaksanakan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung jangkitan COVID-19 dan memastikan pelajar dapat hadir ke sekolah dan tidak tercicir dalam pembelajaran.

Hasilnya, Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar 2 (SKTTJ 2) di sini, yang turut melaksanakan SOP  penjagaan kesihatan dan kawalan keselamatan yang ketat, berjaya merekodkan kehadiran pelajar hampir 100 peratus, sejak mula dibuka semula.

Guru Besar SKTTJ 2, Zalija Marsham berkata keyakinan pelajar dan ibu bapa terhadap pembudayaan norma baharu dengan mematuhi SOP yang ditetapkan serta kerjasama semua pihak merupakan kunci kejayaan tersebut.

“SOP yang dipraktikan antaranya, suhu badan akan diperiksa dan wajib menggunakan cecair sanitasi tangan sebelum masuk ke kelas. Pelajar juga digalakkan kerap membasuh tangan di samping sekolah membuat penambahan dari segi keselamatan makanan dan sentiasa pantau kesihatan pelajar.

“Bagi Januari, Febuari dan Mac, kehadiran pelajar kami melebihi KPI (Petunjuk Prestasi Utama) ditetapkan Kementerian Pendidikan iaitu 95 peratus, dan apabila selesai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita lihat kehadiran amat memberangsangkan dengan merekodkan 96.7 peratus pada minggu pertama. Ini menggambarkan kami dapat kepercayaan penuh oleh komuniti setempat,” katanya.

Tinjauan Bernama di sekolah berkenaan mendapati pematuhan terhadap SOP dengan pembudayaan norma baharu dilaksana penuh tertib apabila murid perlu sentiasa mempraktikan penjarakan fizikal sebaik melangkah masuk ke kawasan sekolah.

Pelajar kemudian diperiksa suhu badan dan diminta menggunakan cecair sanitasi tangan sebelum masuk ke kelas bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) manakala di luar setiap bilik darjah disediakan kemudahan sinki cuci tangan dan sabun yang disumbangkan ibu bapa.

Terletak di kawasan perumahan Taman Tuanku Jaafar, sekolah berkenaan yang melaksanakan sesi persekolahan pada sebelah pagi dan memiliki seramai 785 murid termasuk prasekolah, turut menerapkan elemen PdP yang menyeronokkan.

“Kita jalankan proses PdP seperti biasa tetapi elemen keseronokan di setiap PdP tetap diselitkan supaya kita dapat menarik minat murid untuk terus hadir ke sekolah dan masyarakat sedar usaha pihak sekolah ini demi kebaikan anak-anak mereka,” katanya. 

Murid Tahun Enam, Nurin Sakinah Husna Mohd Zaki, 12, ketika ditemui berkata beliau berasa selamat dan tidak bimbang hadir ke sekolah walaupun negara sedang berdepan wabak COVID-19.

Malah, beliau berkata peranan guru yang mengambil berat kesihatan murid selain kepatuhan semua murid terhadap SOP, termasuk ketika waktu rehat, menambah keyakinannya untuk terus hadir ke sekolah.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Md Fiah Md Jamin berkata pihaknya sudah melawat semua sekolah di negeri ini untuk memberi penerangan berhubung pelaksanaan pembudayaan norma baharu supaya ia dapat dihayati oleh guru, murid serta ibu bapa.

“Semasa lawatan kita ke semua sekolah, semua mengikuti SOP seperti yang ditetapkan. Ini satu penghayatan yang cukup baik dan sangat dituntut bagi membendung penularan wabak COVID-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here