LAWAS, 20 Dis — Keharmonian dalam kepelbagaian kaum di Sarawak menjadikan ia sebagai sebuah negeri yang cukup unik, umpama sebuah taman indah permai yang dicantikkan lagi dengan kehadiran bunga berwarna-warni, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Beliau berkata walaupun dalam kepelbagaian, penduduk Sarawak dapat hidup dengan penuh aman dan harmoni bersama mengharungi sudah senang, membantu sesama sendiri walau dalam apa jua keadaan.

“Kita bersatu dalam kepelbagaian, umpama taman yang cukup indah, serta unik, dengan komitmen kerajaan bagi memastikan suasana ini terus terpelihara,” katanya semasa berucap sempena sambutan pra-Krismas dan Tahun Baharu 2021 di sini malam tadi.

Menurutnya kerajaan negeri juga komited untuk mengekalkan kebebasan beragama dan kebebasan dalam mengamalkan adat serta budaya masing-masing kaum.

Katanya politik negeri Sarawak cukup stabil selama ini kerana penduduknya meletakkan kepentingan perpaduan melebihi segalanya.

Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Sari seterusnya menggesa penduduk sini supaya terus menyokong kerajaan di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam usaha bersama mempertahankan hak dan kepentingan negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, dan di dalam perlembagaan negeri dan Persekutuan.

Beliau berkata penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-agama lain (UNIFOR) pada 27 April 2017 di bawah Jabatan Ketua Menteri, yang diilhamkan oleh bekas Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem, merupakan bukti bahawa kerajaan Sarawak menyokong dan menjunjung pembangunan lain-lain agama dalam negeri.

“Ini hanya terdapat di Sarawak, dan inilah kekuatan yang perlu kita ada untuk menjadi sebuah negeri yang memiliki kestabilan politik dalam negara ini,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here