KUCHING, 17 Sept — Kerajaan akan bekerjasama dengan negara luar dalam rangka untuk meningkatkan sasaran 35 peratus tenaga pekerja mahir di Malaysia.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata antara lain ialah dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan negara China dan mengintai peluang kerjasama dengan negara Iran.

“Justeru itu kita juga akan ke Iran untuk mempelajari dan melihat kemahiran yang mereka miliki dalam usaha untuk meningkatkan tenaga kerja mahir di negara ini.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), negara sepatutnya mencapai sasaran 35 peratus sumber tenaga kerja mahir, walau bagaimanapun setelah 60 tahun berlalu, tenaga pekerja mahir yang kita ada hanya mencapai 30 peratus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Bertemu Pelanggan di Pasar Komunti Sturong, di sini, hari ini.

Kula Segaran berkata, dalam usaha memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kerajaan akan terus menyediakan lebih banyak institusi TVET.

“Kemahiran memainkan peranan yang besar dalam sesebuah kemakmuran negara, tiada negara boleh membangun, tiada negara boleh mencapai kemajuan melainkan terdapat sejumlah besar penduduk dan pekerjanya terlatih,” katanya.

Katanya, dengan adanya tenaga perkerja yang mahir ia akan membantu meningkatkan produktiviti dan mobiliti.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here