KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat melawat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Sungai Besi.

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada pukul 10.15 pagi di Bangunan Canselori diiringi Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Naib Canselor UPNM Lt Jen Datuk Abdul Halim Jalal.

Dalam lawatan lebih dua jam itu, Sultan Abdullah berkenan mendengar taklimat daripada Abdul Halim mengenai latarbelakang universiti itu.

Baginda turut dibawa ke Pusat Maritim untuk melihat simulator kapal selain melawat pameran pencapaian oleh warga UPNM termasuk produk penyelidikan dan akademik.

Selesai lawatan, Seri Paduka kemudian berkenan bergambar dan bersalaman bersama warga UPNM termasuk penuntut.

Keberangkatan pulang Sultan Abdullah kemudian diiringi oleh 1,500 pegawai kadet dan pelajar awam yang berdiri memberi tabik hormat sepanjang laluan pintu keluar universiti itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here