KUALA LUMPUR, 2 Okt — Perdagangan Malaysia-China dijangka mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh pada tahun ini di sebalik ekonomi global yang suram, perang perdagangan Amerika Syarikat(AS)-China dan mata wang tidak stabil, kata Duta Khas Malaysia ke China Tan Kok Wai.

“Tahun lepas, kita turut berdepan isu sama (lebih kurang), tetapi kita menyaksikan pertumbuhan agak kukuh antara kedua-dua negara dengan nilai (dagangan) kita berjumlah US$108.6 bilion.

“… dan bagi separuh pertama tahun ini, perdagangan Malaysia dengan China berkembang sebanyak 10.7 peratus kepada US$57.4 bilion, nilai lebih tinggi berbanding dengan enam bulan pertama 2018 (US$54.3 bilion)… anda boleh lihat kemajuannya, (ia) sangat sihat dan (dalam aliran) melonjak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan galeri jualan M Oscar Mah Sing Group Bhd, di sini, hari ini.

Sementara itu, Tan berkata bersempena dengan ulang tahun ke-70 pemerintahan parti Komunis, republik itu telah menyatakan kesediaan untuk mengimport lebih banyak barangan daripada negara lain, dan Malaysia adalah antara negara yang akan meraih banyak manfaat daripada dasar terbuka baharu China.

Beliau berkata, sebagai contoh, tahun lepas China buat julung kalinya telah menganjurkan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) dengan jayanya untuk menggalakkan lebih banyak syarikat asing mengeksport ke China.

“Dan dengan kekukuhan hubungan antara kedua-dua negara, Malaysia akan diundang (sekali lagi) untuk membina Pavilion Malaysia pada CIIE akan datang yang akan diadakan dari 5-10 Nov di Shanghai, untuk mempromosikan produk Malaysia di China dan ini akan memberi peluang kepada pengeksport kita untuk memasuki pasarannya yang luas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Datuk Ho Hon Sang berkata galeri jualan M Oscar menandakan pelancaran projek pertamanya bermula daripada pengambilalihan tanah pada 2019.

Projek itu membabitkan bangunan kediaman pencakar langit berkonsepkan kemewahan, akan dibangunkan di tanah pegangan bebas seluas 1.87 hektar dengan nilai pembangunan kasar RM500 juta, katanya.

“Direka bentuk secara spesifik untuk memenuhi keperluan profesional bekerja dan keluarga muda, keluasan unit bermula dari 708 kaki persegi , dan terdiri daripada dua hingga empat bilik tidur dengan harga daripada RM428, 000 ke atas.

“Terletak di kawasan kejiranan serba lengkap dengan kemudahan serta dihubungkan dengan lebuh raya dan berdekatan dengan stesen MRT Taman Naga Emas, akan menawarkan jaringan hubungan dan akses lebih baik untuk perjalanan harian pemilik rumah,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here