KLANG, 15 Okt — Kementerian Industri Utama akan menggunakan sebaiknya peruntukan RM27 juta dalam Belanjawan 2020 bagi memperluas kempen ‘Sayangi Sawitku’, sekali gus menangani persepsi negatif terhadap industri kelapa sawit negara.

Menterinya Teresa Kok Suh Sim berkata usaha itu perlu dipergiatkan supaya dapat menstabilkan harga sawit serta memperluaskan lagi pasaran minyak sawit di dalam dan luar negara.

“Kita memang ada peruntukan RM27 juta khas untuk publisiti dan kempen bagi mempromosikan minyak sawit kita.

“Kita akan menggunakan peruntukan ini bagi tujuan promosi minyak sawit Malaysia, selain memerangi kempen anti sawit oleh NGO (pertubuhan bukan kerajaan) di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Palm Oil Experience Centre (POEC) di ladang Sime Darby Plantation Berhad di Pulau Carey, dekat sini, hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Plantation Berhad Mohamad Helmy Othman Basha.

POEC merupakan pusat sehenti untuk pendidikan dan kesedaran mengenai sawit.

Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lepas, kerajaan memperuntukkan RM27 juta untuk menyokong usaha Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam meluaskan pasaran minyak sawit di peringkat antarabangsa dan menangani Kempen Anti Minyak Sawit.

Mengulas lanjut, Kok berkata kementerian akan mengadakan kempen dan publisiti secara menyeluruh menggunakan pelbagai pendekatan termasuk turun padang selain mendidik masyarakat tentang kebaikan sawit.

Sementara itu, mengulas mengenai POEC, beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pelancongan supaya turut bekerjasama mempromosikan pusat itu dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau berkata menerusi langkah itu ia akan mendedahkan pelancong tempatan dan luar negara terhadap industri sawit Malaysia.

“Diharapkan mereka akan lebih menghargai dan memahami kelapa sawit sebagai tanaman berharga untuk dunia dan menyedari kesan sosio ekonomi industri itu terhadap rakyat Malaysia dan ramai lagi di seluruh dunia,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here