KUALA LUMPUR, 15 Okt — Terserah kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan had harga hartanah lebih rendah untuk pemilikan asing seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam belanjawan yang dibentangkan pada Jumaat lepas, kerajaan menurunkan had harga hartanah kediaman untuk pemilikan asing kepada RM600,000 daripada RM1 juta.

“Beberapa kerajaan negeri telah membuat pengumuman bahawa mereka akan menimbangkan perkara itu (menurunkan had harga hartanah untuk warga asing) tetapi yang pasti terserah kepada kerajaan negeri untuk membuat keputusan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Berhubung royalti minyak, beliau berkata kerajaan pada prinsipnya bersetuju untuk membuat bayaran tunai kepada negeri pengeluar minyak iaitu Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Kerajaan Pakatan Harapan, menurutnya, tidak menggunakan perkataan bayaran “wang ehsan” seperti diamalkan oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Kami masih menggunakan kaedah lama tetapi ia tidak lagi diuruskan kerajaan persekutuan dan kami bayar secara terus kepada kerajaan negeri kerana itu merupakan hak yang dijamin oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

Mengenai royalti minyak dinaikkan kepada 20 peratus, beliau berkata perkara itu masih dalam perbincangan.

Sementara itu, mengenai penjualan kepentingan dalam Malaysia Airlines oleh Khazanah Nasional Bhd, beliau berkata lembaga pengarah dana pelaburan negara itu sedang mengkaji semua cadangan dan opsyen yang ada.

“Pastinya, kami berharap untuk memuktamadkan perbincangan itu secept mungkin tetapi kami perlu mendapatkan nilai terbaik dalam memilih rakan kongsi yang betul untuk menyuntik modal dalam Malaysia Airlines,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here