KOTA KINABALU, 17 Okt — Kementerian Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah merancang untuk memperluas Kawasan Perlindungan Marin (MPA) sebanyak 13 peratus iaitu bersamaan dengan 2.031 juta hektar menjelang tahun 2025.

Setiausaha Tetap kementerian itu Datuk William Baya berkata pada masa ini MPA di Sabah hanya meliputi 7.2 peratus daripada keseluruhan kawasan.

“Kerajaan juga merancang untuk menambah dua lagi MPA pada 2030, masing-masing satu di pantai barat dan pantai timur Sabah,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal dan Pertukaran Serantau MPA ke-8 di sini malam tadi.

William berkata Taman Tun Mustapha, Kudat yang diwartakan pada 2016 merupakan kawasan perlindungan marin terbesar di Malaysia dengan lebih 890,000 hektar.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Interim, Sekretariat Serantau Inisiatif Segitiga Terumbu Karang (CTI) Dr Hendra Yusran Siry berkata acara itu memberi inspirasi untuk mempelajari inisiatif dan menarik buat setiap anggota negara CT6 mencapai objektif Pelan Tindakan Serantau (RPOA).

Beliau berharap kerja-kerja yang telah dimulakan di MPA akan memperkukuhkan kawasan pemuliharaan dan rentas sempadan MPA, peningkatan perancangan dan pengurusan MPA serta penyediaan pengurusan MPA yang mampan.

“Juga peningkatan kapasiti serta komunikasi dan jangkauan terus dan dapat menggalakkan lebih banyak sokongan daripada pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here