KUALA LUMPUR, 24 Okt — Malaysia yakin isu minyak sawit dengan India tidak akan menjejaskan rundingan negara dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), dijadual dimuktamadkan pada tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan dan Industri India Piyush Goyal bagi membincangkan isu minyak sawit di luar Mesyuarat Menteri-Menteri RCEP di Bangkok pada 10-12 Okt lepas.

“Seperti dikatakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, setakat ini hanya sektor swasta di India yang menggesa (untuk boikot), tetapi kami masih belum menerima makluman daripada pihak kerajaan.

“Kami akan terus mengadakan libat urus dengan kerajaan mereka. Apa pun, minyak sawit adalah perdagangan yang tidak boleh dihentikan begitu sahaja kerana ia akan menjejaskan banyak orang; bukan sahaja rakyat Malaysia, tetapi juga pihak yang berdagang di pasaran global serta India sendiri,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Hari Eksport Negara 2019 di sini, hari ini.

Darell berkata hubungan Malaysia-India kekal kukuh, dan menurutnya kementeriannya akan terus mengadakan libat urus dengan negara yang berminat dengan minyak sawit Malaysia.

Sementara itu, menteri itu berkata Malaysia akan bekerjasama dengan negara anggota RCEP yang lain untuk merumuskan perjanjian perkongsian ekonomi yang bermanfaat kepada semua pihak.

“Jadi, mari doakan yang terbaik. Sudah tentu kita mungkin berdepan apa-apa sahaja esok, atau hari selepas esok, sejurus sebelum Sidang Kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada November, kita perlu bersikap positif.

“Apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, kami telah menyemak semula beberapa perkara dan kami bernasib baik bahawa ASEAN mendengar pendapat kami,” katanya dan menurutnya pengumuman mengenai RCEP mungkin dibuat antara 1 Nov dan 3 Nov.

Sidang Kemuncak ASEAN akan diadakan pada 2-4 Nov di Bangkok, Thailand.

RCEP telah mencadangkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) melibatkan 10 negara anggota ASEAN (Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam) dan enam rakan kongsi FTA (China, Jepun, India, Korea Selatan, Australia dan New Zealand).

Rundingan RCEP secara rasminya dilancarkan pada November 2012 pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kemboja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here