CCBL's official opening ceremony on 25th Oct 2019

LABUAN, 25 Okt — Penubuhan China Construction Bank (CCB) di Labuan menjadi bukti kepada reputasi Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) sebagai bidang kuasa pilihan untuk pemain global utama.

Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) Danial Mah Abdullah berkata kehadiran CCB dengan bank-bank dan institusi kewangan terkemuka lain akan menjana lebih banyak limpahan dan sumbangan kepada ekonomi pulau tersebut.

“Pertumbuhan pasaran kewangan China di rantau Asia Pasifik adalah yang paling pesat dalam dekad yang lepas. Malah, industri perbankan China mengatasi yang lain di dunia dari segi saiz, berikutan empat bank terbesar di dunia pada 2019 adalah dari China.

“Pada akhir 2018, China kini mempunyai lebih 4,500 institusi kewangan perbankan termasuk bank perdagangan milik negara, bank swasta, bank perdagangan luar bandar dan banyak lagi,” katanya pada pelancaran rasmi CCB Labuan (CCBL) hari ini.

Beliau berkata data kewangan dan statistik daripada Suruhanjaya Kawal Selia Perbankan dan Insurans China (CBIRC) menunjukkan capaian bank-bank China di rantau ini akan terus mengukuh pada masa depan.

Katanya Labuan FSA menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CBIRC untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dalam bidang pengawalseliaan dan penyeliaan.

“Kami berharap MoU itu akan menggalakkan lebih banyak penyedia perkhidmatan kewangan China diwujudkan di Labuan,” kata Mah.

Dengan CCB Labuan sebagai bank digital perintis di Labuan, beliau berharap bank itu akan bekerjasama dengan Labuan FSA untuk memodenkan bidang perbankan Labuan dengan membawa lebih banyak teknologi ke pusat tersebut.

“Ini juga sejajar dengan inisiatif Malaysia untuk menarik lebih banyak pelaburan terutamanya dari China ke negara ini, dan ini boleh dilakukan melalui Labuan IBFC,” katanya.

Beliau berkata Labuan FSA mempunyai strategi pasaran China dan akan bekerjasama dengan institusi kewangan dan firma perantara China untuk memberi laluan kepada lebih banyak entiti yang berpangkalan di China menjalankan perniagaan di pusat itu.

“Malah, sejak sembilan bulan lepas, kami menyaksikan pertumbuhan pelabur baharu dari China sebanyak 114 peratus, menunjukkan peningkatan yang ketara bagi perniagaan China di Labuan IBFC.

Dari segi pembiayaan, sejumlah US$1.28 bilion (US$1=RM4.18) atau kira-kira lima peratus daripada jumlah pembiayaan perbankan Labuan telah diberikan kepada pasaran China.

“Dengan CCBL dalam industri, kami berharap ini akan membawa masuk lebih ramai pelabur dan institusi China menggunakan Labuan IBFC sebagai platform untuk perdagangan dan pelaburan di rantau ini,” katanya.

Mah berkata walaupun untuk Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), faktor kejayaan utama untuk inisiatif besar ini adalah pembiayaan dan justeru itu, CCBL boleh menyasarkan untuk menjadi hab kewangan utama bagi BRI.

“Kami berharap CCB Labuan dapat membantu membiayai pembinaan jambatan Labuan-Menumbok, untuk merealisasikan impian ramai,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here