KUALA LUMPUR, 28 Nov — Usaha Petronas Dagangan Berhad (PDB) membantu kempen Beli Barangan Malaysia 2019 yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan menempatkan produk PKS di lebih 700 kedai Mesra seluruh negara akan dapat menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi domestik.

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan berharap usaha itu dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui pembelian barangan buatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan terutama dalam ekosistem pasaran yang sangat kompetitif.

Beliau berkata model yang digunakan PDB itu boleh diikuti oleh pengusaha stesen minyak yang lain kerana di Malaysia mempunyai hampir 3,500 stesen minyak.

“Kalau kita nak sebut tentang perkongsian atau kemakmuran bersama, inilah model yang paling ideal. Kita boleh melihat bagaimana manfaat itu dinikmati usahawan dan pengusaha stesen minyak sendiri dan inilah antara tujuan kempen ini diadakan oleh kerajaan melalui KPDNHEP,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program PDB dalam mempromosikan produk IKS di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PDB Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata program itu juga selaras dengan program PKS PDB yang telah dibangunkan lebih 25 tahun lalu untuk menyokong perniagaan usahawan tempatan.

“Sehingga kini, PDB mempunyai lebih daripada 350 usahawan tempatan yang membekalkan produk mereka di kedai Mesra di seluruh Malaysia. Di bawah program PKS, kami telah membantu usahawan tempatan untuk menembusi pasaran yang lebih luas melalui rangkaian stesen kami di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata pihaknya tidak sekadar hanya mahu menambah jumlah usahawan PKS, tetapi lebih memberi tumpuan terhadap kualiti produk yang dikeluarkan.

“Seperti yang kita maklum, pada tahun lepas lebih kurang RM76 juta dalam segi jumlah keseluruhan (jualan) dan angka ini lebih kurang tiga peratus daripada seluruh jualan di kedai Mesra. Sasaran kami dalam masa terdekat, dua tiga tahun ini, kita harap dari segi standard industri, sepatutnya lebih kurang lima atau enam peratus (jualan produk PKS),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata pelaksanaan pengapungan harga petrol RON95 secara berperingkat pada kadar satu sen atau dua sen setiap minggu mulai Januari tahun depan belum dimuktamadkan lagi.

Beliau menjelaskan bahawa perkara itu perlu dipersetujui oleh jemaah menteri sebelum ia dimuktamadkan.

Semalam, Timbalannya Chong Chien Jen dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat berkata harga petrol itu akan diapung secara berperingkat pada kadar satu sen atau dua sen setiap minggu sehingga harga petrol RON95 mencapai harga pasaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here