PUTRAJAYA, 3 Dis — MYNIC, pendaftar rasmi domain .MY di Malaysia, akan memberikan diskaun khas 50 peratus iaitu daripada RM120 kepada RM60 kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk pendaftaran baharu nama domain .MY mulai 1 Januari 2020.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dalam kenyataan hari ini berkata antara kelebihan menggunakan nama domain .MY adalah pencarian laman web oleh pelanggan akan menjadi mudah dan pantas, dan keselamatan laman lebih terjamin dan sekaligus meningkatkan kebolehpercayaan pelanggan.

“Inisiatif ini akan menggalakkan golongan OKU menggunakan internet untuk meningkatkan aktiviti atas talian mereka supaya mereka boleh mendapat manfaat daripada aktiviti ekonomi digital sekarang ini.

“Melalui pengumuman diskaun khas itu, ia akan memastikan bahawa tiada golongan yang terpinggir dalam revolusi digital global dan era Revolusi Industri 4.0, di mana penggunaan pelbagai aplikasi teknologi akan menjadi sebahagian daripada hidup seharian masyarakat,” katanya.

“Inisiatif ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan yang terbaik untuk rakyat, terutamanya masyarakat yang memerlukan bantuan,” tambahnya.

Gobind berkata MYNIC yang juga agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi digital dan penggunaan nama domain .MY bakal memberi impak yang baik terhadap perniagaan atas talian.

Maklumat lanjut mengenai diskaun khas itu boleh didapati di portal MYNIC www.mynic.my atau melalui talian mesra pelanggan 1-300-88-7277 mulai 5 Disember 2019.

Gobind berkata usaha itu juga selaras dengan semangat Wawasan Kemakmuran Bersama dan tema sambutan Hari OKU Sedunia 2019 iaitu ‘Penyertaan OKU: Tiada Yang Tertinggal Dalam Agenda Pembangunan 2030’.

“KKMM juga sentiasa berusaha untuk memperkasa rakyat terutamanya dalam memastikan semua lapisan masyarakat mendapat akses internet kerana ia merupakan satu kemudahan asas pada masa ini,” katanya.

“Pada bulan Jun lepas, saya telah meminta pertimbangan para pembekal perkhidmatan telekomunikasi untuk memberikan diskaun bagi perkhidmatan jalur lebar kepada golongan OKU,” katanya.

“Melalui inisiatif itu, diskaun antara RM10 dan RM15 diperkenalkan untuk pakej-pakej perkhidmatan mudah-alih prabayar dan pasca bayar yang tertentu,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here