KUALA LUMPUR, 14 Jan — Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), mengumumkan beberapa acara perniagaan utama yang akan berlangsung sepanjang tahun ini, sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Dalam satu kenyataan hari ini, MyCEB berkata setakat ini, ia telah memperoleh 42 acara perniagaan tahun ini, yang akan membawa lebih daripada 65,000 perwakilan, terutama daripada industri penjagaan kesihatan, telekomunikasi, sains dan teknologi, dengan impak ekonomi dianggarkan sebanyak RM645 juta.

Acara tersebut termasuk Kongres Antarabangsa ke-19 mengenai Penyakit Berjangkit; Persidangan dan Pameran Perubatan & Estetik Antarabangsa Ke-2; Kongres Terowong Dunia ITA-AITES 2020; Kongres Persatuan Atherosklerosis dan Penyakit Vaskular Asia-Pasifik Ke-13; Kongres Dunia Kesihatan Lelaki 2020 dan Kongres Pan-Pasifik ke-30 2020.

“Seiring dengan aspirasi kerajaan untuk mencapai 30 juta ketibaan pelancong, MyCEB akan terus mengetengahkan Malaysia sebagai hab acara perniagaan Asia melalui pameran bergerak antarabangsa,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 2009, MyCEB dan rakan industrinya telah memperoleh 1,100 acara perniagaan antarabangsa, iaitu persidangan antarabangsa, mesyuarat korporat, insentif perjalanan dan pameran perdagangan. Ia menyumbang impak ekonomi sebanyak RM8.5 bilion kepada negara.  

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here