KUALA LUMPUR, 13 Jan — Maxis dan Huawei Technologies Malaysia baru-baru ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka dan bekerjasama dalam Program TechCity di sini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Huawei berkata kedua-dua syarikat tersebut akan bekerjasama bagi menyediakan penyelesaian dalam kapasiti 4G dan 5G bagi melahirkan pengalaman menarik lebih khusus, inovasi reka bentuk rangkaian 5G, pelaksanaan serta kecekapan operasi.

Mereka akan turut mewujudkan sebuah makmal inovasi 5G bagi memajukan serta mengemukakan kes baharu penggunaan 5G untuk dikomersialkan oleh pelbagai industri apabila spektrum 5G itu ditawarkan.

“TechCity merupakan satu inisiatif kerjasama dengan pengendali mudah alih di serata dunia bagi mewujudkan satu rangkaian sasaran 5G yang cemerlang, pelaksanaan perkhidmatan dan model perniagaan baharu.

“Program ini akan turut merangkumi penjenamaan bersama dan inovasi kejayaan penggunaan di seluruh dunia. Malah, menerusi kolaboratif ini, Maxis turut menyertai pengendali utama global yang memiliki kerjasama kemudahan penyelidikan dan pembangunan yang lebih hampir selain akses terhadap pembangunan kes penggunaan 5G,” kata Huawei.

Sebelum ini, Huawei yang juga syarikat gergasi teknologi China berpejabat di Shenzen itu melancarkan Program TechCity di bandar-bandar seperti London, Seoul dan Tokyo.

Dalam pada itu, Pengerusi Huawei Guo Ping berkata menerusi usaha pelaksanaan inisiatif TechCity secara bersama, kedua-dua syarikat itu dapat mewujudkan penyelesaian 5G mengikut keperluan tempatan yang boleh digunakan di pasaran global pada masa depan.

“Ini akan membantu Huawei dari segi transformasinya daripada sebuah pelaksana teknologi kepada peneraju inovasi dan pembangunan ekosistem 5G,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Gokhan Ogut pula menyifatkan kerjasama tersebut akan membolehkan syarikat ke peringkat seterusnya dengan meneroka teknologi baharu bagi memberi pengalaman menarik kepada pengguna selain aspek kecekapan rangkaian yang lebih baik.

“Maxis sentiasa di hadapan dari segi teknologi baru dan kami turut teruja dengan penglibatan dalam program ini yang mampu membuka lebih banyak peluang bagi manfaat pelanggan di masa depan,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here