KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) — Sebanyak 130 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes melepasi angka 1,000 iaitu 1,030 kes setakat 12 tengah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata 48 kes daripada 130 kes baharu itu, adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh, di Masjid Jamek Seri Petaling, baru-baru ini.

“Sehingga kini, sebanyak 26 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya sebanyak 12 kes yang telah pulih dan dibenarkan pulang pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada wabak itu adalah 87.

Terdahulu, Dr Noor Hisham menerusi catatan Facebooknya memaklumkan 12 petugas kesihatan kementeriannya dan tiga daripada sektor kesihatan swasta, dijangkiti COVID-19.

Katanya seorang daripada 12 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) kini berada di ICU dan memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan orang ramai untuk kekal aktif dengan bersenam atau melakukan aktiviti fizikal di rumah, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Senaman yang berbentuk kardio bagi yang mempunyai basikal senaman atau ‘treadmill’ di rumah.

“Selain itu, senaman yang menggunakan berat badan sendiri, seperti ‘push-ups’ (tekan tubi), ‘squats’, ‘planks’, ‘burpees’ dan ‘lunges’ (yang menggunakan pelbagai otot tanpa memerlukan peralatan khusus), serta senaman Tabata dan senaman ringan seperti yoga atau tai chi.

Beliau turut mengingatkan orang ramai sekiranya tidak sihat untuk menghubungi ‘virtual health advisory’ dan mengikuti sesi Webinar, yang akan diadakan setiap hari bermula 9.00 pagi melalui pautan http://www.doctoroncall.com.my/coronavirus.

Orang awam juga boleh menghubungi talian ‘Crisis Preparedness and Response Centre’ (CPRC) Kebangsaan, Kementerian Kesihatan.

Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia, boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan. 

–BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here