Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA, 25 April (Bernama) — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyaring 14,187 orang warga asing setakat ini dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID19, dengan 676 kes positif, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. 

“Kita menyaring warga asing iaitu di kawasan EMCO (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) dan juga mereka berisiko tinggi yang ada hubung kait dengan perhimpunan Sri Petaling,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata kementerian setakat ini menggunakan pendekatan bersasar bagi menyaring golongan itu dan tidak kepada semua warga asing di negara ini walaupun golongan ini dilihat sebagai golongan yang berisiko mencetuskan kluster COVID-19. 

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menafikan hospital KKM telah menangguhkan rawatan kanser kerana memberi laluan untuk merawat kes COVID-19 seperti dilaporkan satu media asing. 

Katanya penangguhan tersebut mungkin disebabkan isu lain seperti keputusan darah yang tidak sesuai untuk dilakukan rawatan kimoterapi ke atas pesakit. 

Justeru katanya, rawatan kanser di hospital KKM tetap berterusan walaupun negara berdepan pandemik COVID19. 

Mengulas mengenai laporan penduduk di Menara City One yang mendakwa petugas kesihatan tidak mengamalkan garis panduan betul semasa melakukan saringan saat akhir malam tadi, Dr Noor Hisham berkata berlaku kesesakan apabila penduduk di dua blok turun secara serentak. 

Namun, katanya dengan kerjasama dari pasukan keselamatan, KKM berjaya menguruskan situasi mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here