PUTRAJAYA, 11 Mei  — Kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian  Sumber Manusia untuk meminta majikan menyediakan tag atau pengenalan diri, bagi menunjukkan seseorang pekerja warga asing telah menjalani ujian swab COVID-19.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tag berkenaan bagi memudahkan orang ramai mengenal pasti pekerja asing, yang telah menjalani ujian swab COVID-19.

“Setakat hari ini sesiapa sahaja yang menjalani ujian swab COVID-19, pihak hospital atau klinik akan keluarkan surat, yang mengatakan mereka negatif atau positif.

“Kalau positif terus masuk hospital. Yang negatif akan menerima surat mengatakan bahawa mereka tidak dijangkiti,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, surat yang dikeluarkan selepas seseorang didapati negatif COVID-19, boleh ditunjukkan kepada pihak berkuasa di sekatan jalan raya atau sebarang pemeriksaan. 

“Tapi untuk identiti diri setakat ini belum ada,” katanya lagi.

Sementara itu Ismail Sabri memaklumkan beberapa kluster baharu yang berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bukan disebabkan ketidakpatuhan majikan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Sebagai contoh yang berlaku di tapak pembinaan di Setia Alam, bukan kerana mereka tak patuh SOP, sebenarnya mereka patuh pada SOP apabila mereka bawa pekerja pembinaan mereka untuk ujian swab, sebelum dibenar bekerja dan bila diuji, memang di dapati ada positif dan sebagainya, bukan berlaku  dalam waktu mereka bekerja.

“Jadi tuan punya tapak syarikat pembinaan itu sebenarnya mematuhi SOP untuk periksa pekerja dia, jadi tidak ada isu yang gagal mematuhi, dan kes kluster kilang ayam di Pedas pula bukan baru di buka masa PKPB, kerana sejak PKP fasa pertama pun dah buka, sebab berkaitan makanan,” katanya.

Justeru bagi memutuskan penularan jangkitan COVID-19, kerajaan mengambil pendekatan baharu dengan hanya menutup lokaliti yang mempunyai kes positif COVID-19, dan bukan keseluruhan kawasan.

“Kalau dulu kita tutup keseluruhan Setia Alam, semua perumahan ditutup, tapi sekarang ni kita ambil pendekatan yang berbeza, kita tutup kawasan berkaitan dan kita rawat mereka yang terlibat di kawasan itu, kita fokus kepada mereka yang dijangkiti dan kawasan yang dijangkiti,” katanya. 

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here