PADANG RENGAS, 22 Mei  — Meskipun Syawal kali ini bakal disambut dalam suasana berbeza susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun bagi penduduk Kampung Ribu di sini tetap mahu kemeriahan itu dapat dirasai. 

Bagi penduduk di sini, memasang pelita buluh di sekitar halaman rumah pada malam tujuh likur sudah menjadi kemestian setiap kali menjelang Aidilfitri.

Nur Hidayah Mohd Sabri, 20, berkata dia bersama bapanya, Mohd Sabri Mustafa, 49, tetap mengekalkan tradisi mereka sekeluarga sejak dahulu lagi dengan memasang kira-kira 500 pelita bulat yang dipasang pada 50 batang buluh.

Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, mereka sekeluarga hanya mengambil masa lima hari untuk menyiapkan sepenuhnya buluh sepanjang 500 meter itu.

“Bezanya tahun ini kami buat pelita buluh secara kecil-kecilan sahaja kerana masih dalam tempoh PKPB dan kami menyalakan pelita berbentuk kubah masjid bertemakan ‘Kita Jaga Raya Kita’ hasil idea dari bapa saya,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu, Amiruddin Mohd Lazim berkata sebanyak 10 penyertaan sahaja terlibat dalam pertandingan memasang pelita yang dianjurkan pada tahun ini.

“Memandangkan tahun ini suasana Aidilfitri berlainan tidak seperti tahun sebelumnya, kami mengambil inisiatif untuk tidak lagi membuat pameran (pelita buluh) secara besar-besaran.

“Ini adalah tradisi yang patut dikekalkan jadi kami buat dalam bentuk olahan yang kecil jadi kami mengadakan pertandingan pelita secara individu di rumah masing-masing dengan setiap penyertaan mestilah dibuat oleh ahli keluarga sendiri,” katanya.

Beliau berkata, selain menerima hadiah, pemenang juga akan mewakili kampung berkenaan untuk ke pertandingan memasang pelita di peringkat Parlimen Padang Rengas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here