KUALA LUMPUR, 19 Jun — McDonald’s Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) baru-baru ini, yang berkaitan dengan tawaran Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam mod Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi pelajar menengah selepas Tingkatan tiga.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata menerusi kerjasama ini, pelajar kolej vokasional yang mengambil bahagian dalam program perkhidmatan makanan yang ditawarkan oleh syarikat itu akan dianugerahkan dengan SKM Tahap Tiga oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia selepas menamatkan program berkenaan.

“Menerusi program ini, lebih ramai belia akan dapat diberikan peluang bagi meningkatkan potensi mereka, mempelajari kemahiran baharu, dan membina karier dalam industri perkhidmatan makanan. Standard global kami adalah faktor yang memisahkan kami dengan yang lainnya, dan faktor perbezaan utama inilah yang yang kami ingin kongsi dengan belia ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata SKM dalam mod SLDN bagi pelajar kolej vokasional akan menyaksikan pengambilan 59 pelajar sebagai sebahagian daripada kumpulan perintis, dan McDonald’s Malaysia bersama Kolej Vokasional ERT Setapak baru-baru ini menganjurkan taklimat terbuka bagi para pelajar dan ibu bapa.

Azmir berkata ketika ini Kolej Vokasional ERT Setapak adalah satu-satunya kolej vokasional yang menawarkan program SLDN McDonald’s kepada pelajar yang baru menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan berminat untuk menceburi industri perkhidmatan makanan.

“Program ini akan ditawarkan secara berperingkat di kolej vokasional terpilih di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Pendidikan Dr Habibah Abdul Rahim menganggap kerjasama itu sebagai inisiatif positif dalam memberikan akses kepada pendidikan alternatif bagi golongan belia berumur 15 tahun keatas meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, dengan mengambil bahagian latihan pendidikan vokasional dan teknikal (TVET) yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.

Beliau berkata dalam persekitaran pasca-COVID-19, kerjasama antara institusi pendidikan dan industri perlu ditingkatkan, bagi membangunkan kemahiran secara holistik yang boleh menyumbang kepada ekonomi dan negara.

“Kementerian Pendidikan menerusi Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) akan terus memacu TVET dalam memenuhi aspirasi kerajaan ke arah membangunkan pekerja tempatan yang berkemahiran tinggi.

“Inisiatif ini meningkatkan pendidikan teknikal dan vokasional menerusi program SLDN, yang ketika ini ditawarkan di 15 kolej vokasional, dalam 26 bidang melibatkan 502 pelajar, menerusi kolaborasi dengan pelbagai industri dalam negara.

Pelajar kolej vokasional yang mengambil bahagian dalam program ini akan dibiayai sepenuhnya oleh McDonald’s Malaysia, termasuk pemberian elaun bulanan RM1,200, penginapan, manfaat insurans dan perubatan, di samping makanan percuma, yang dianggarkan berjumlah RM30,000 tiap seorang pelajar.

Apabila tamat program, pelajar-pelajar ini akan diberikan SKM Tahap 3, dan diberi pilihan untuk memulakan karier mereka di McDonald’s, menyertai lain-lain syarikat dalam industri perkhidmatan makanan dalam negara, atau melanjutkan pelajaran mereka ke tahap lebih tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here