KUALA TERENGGANU, 11 April — Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah)  memperuntukkan sebanyak RM825,000 untuk diagihkan kepada pelajar sekolah menengah dan rendah terpilih melalui Program Kembali ke Sekolah pada tahun ini.

Pengerusinya Datuk Razali Idris berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan setiap tahun menerusi Ketengah Holding Sdn Bhd itu memberi manfaat kepada lebih 5,500 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Ketengah prihatin ada sebilangan masyarakat yang sedang bergelut untuk menyediakan kemudahan kepada anak-anak untuk ke sekolah ekoran peningkatan kos sara hidup dan kesan pandemik COVID-19.

“Namun, perkara ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan pelajaran anak-anak kerana pendidikan adalah tiket penting dalam mengubah dan menjamin kehidupan lebih baik,” katanya dalam  kenyataan hari ini.

Beliau berkata peruntukan berkenaan mula diagihkan semalam secara berperingkat dengan agihan terakhir pada 25 April di Hulu Terengganu dan setiap penerima mendapat sumbangan tunai RM150.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here