(Kuala Lumpur, July 11) Ahli politik harus melaksanakan tanggungjawab mereka bersama di Parlimen dalam menentukan hala tuju negara, kata Anwar Ibrahim.

“Dalam demokrasi kita terikat untuk menjalankan tugas dalam cara telus dan menerima kritikan rakyat. Malangnya apa yang kita lihat sekarang, ahli politik bersembunyi daripada Parlimen, buat keputusan secara tertutup, menganggu media dan menyebabkan negara berada dalam kegelapan.

“Hari ini kita sangat perlukan kepimpinan yang dapat menyatupadukan, yang memberi inspirasi dan boleh membawa negara ke arah masa depan lebih makmur dan aman,” kata presiden PKR itu dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar mengulas laporan kemiskinan dibuat oleh wakil khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Philip Alston berkenaan miskin tegar dan hak asasi manusia.

Dalam laporan itu, Alston mempersoalkan dakwaan Malaysia bahawa paras kemiskinan di negara ini di bawah 1%.

Mengenai perkara itu, Putrajaya semalam mengumumkan ia menyemak semula pendapatan garis kemiskinan (PLI) kepada pendapatan isi rumah bulanan RM2,208, menjadikan paras kemiskinan negara pada 2019 kepada 5.6%, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed.

Pengiraan PLI kali terakhir dikemas kini pada 2005, dan PLI kekal RM980 pada 2016.

Mustapa berkata angka baharu itu ditentukan susulan semakan semula indeks pendapatan.

Memetik Laporan Kaji Selidik Laporan Tinjauan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 dikeluarkan olej Jabatan Statistik, Mustapa berkata PLI untuk isi rumah 2019 kekal RM2,208 sebulan.

Paras kemiskinan baharu di Malaysia kini 5.6% dan terdiri daripada 405,411 isi rumah pada 2019.

Anwar berkata walaupun Perikatan Nasional (PN) menggantikan Pakatan Harapan (PH) untuk “menyelamatkan” Melayu, tetapi tidak banyak dilakukan sejak berkuasa pada Mac lalu.

“Apa yang pentadbiran PN buat sejak Mac untuk mempertahankan orang Melayu? Mereka tubuhkan Kabinet yang besar dan akan menyebabkan tambahan perbelanjaan negara RM7.6 juta setahun.

“Mereka melantik ahli Parlimen yang sudaha pun dapat elaun besar sebagai pengarah dalam GLC. Mereka ambil jawatan daripada profesional yang memang layak termasuk pemimpin korporat Melayu.

“Bila bercakap tentang isu tadbir urus baik – PN berpura-pura saja membanteras rasuah.

“Namun, dengan bekerjasama dengan pihak yang mengemudi ketika ramai saham Bumiputera disia-siakan, ketika banyak hektar tanah Bumiputera hilang dan ketika begitu banyak skandal besar berlaku, saya persoalkan sama ada kepentingan orang Melayu benar-benar boleh dilindungi di bawah pentadbiran semasa,” kata ketua pembangkang itu.

Beliau berkata pemulihan krisis Covid-19 di Malaysia tidak boleh diukur daripada segi pertumbuhan KDNK saja.

“Pemulihan perlu diukur secara holistik supaya Malaysia dapat bangkit lebih kuat dan lebih berdaya tahan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here