(Kuala Lumpur, July 11)Ahli politik tidak patut menggunakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memperkayakan diri mereka, kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Rafidah Aziz.

GLC bertujuan untuk mengembangkan ekonomi negara dan bukan untuk memenuhi dompet ahli politik, seperti yang berlaku dalam kerajaan sekarang, tambah beliau.

“GLC tak sepatutnya sumber duit ahli politik. Kedua, tak patut diberi kepada kroni untuk mereka lakukan apa yang mereka suka.  

“Kalau tidak ada orang dalam contohnya kementerian dan agensi – yang jujur, berintegriti dan mengutamakan negara berbanding diri sendiri- perkara ini akan berterusan,” kata Rafidah dalam forum secara langsung di Facebook bersama Ahli Parlimen Segambut malam tadi.

Menyingkirkan beberapa ketua GLC selepas pertukaran kerajaan juga tidak adil kerana lantikan dibuat atas kelayakan, tambahnya.

Bekas ketua Wanita Umno itu juga berkata penyingkiran beberapa ketua wanita dalam GLC juga menandakan diskriminasi jantina.

“Menyingkir individu yang tidak menunjukkan prestasi itu betul, tetapi menyingkirkan orang sudah separuh jalan melakukan kerja dan hasilnya bagus itu salah. Kebanyakan daripada mereka adalah wanita.

“Saya terkejut. Mereka dilantik bukan kerana mereka wanita, cuma kebetulan mereka wanita. Mereka dilantik kerana kelayakan, kecekapan dan rekod prestasi.

“Membuang mereka begitu saja, ketika sudah separuh jalan, tanpa diberitahu. Pada saya ini satu pengkhianatan kepada negara,” jelasnya.

Rafidah mengulas langkah kerajaan menggantikan ketua-ketua GLC yang dilantik Pakatan Haraan sebelum ini dengan ahli politik dari Perikatan Nasional. 

Antara yang disingkirkan termasuklah bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif Permodalan Nasional Bhd (PNB) Jalil Rasheed.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here