KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Garis panduan yang diguna pakai semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan dipraktikkan semula pada PRK DUN Slim dengan beberapa penambahbaikan bagi mengekang penularan COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya antara garis panduan yang dipersetujui termasuk Bilik Gerakan Parti dan Bilik Gerakan Kecil dibenarkan dibuka sepanjang tempoh pilihan raya termasuk hari mengundi dengan syarat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Bilik Gerakan ini perlu didaftarkan dengan pihak SPR terlebih dahulu untuk memudahkan proses pemantauan.

“Kempen dan ceramah hanya dibenar dilaksanakan di kawasan tertutup atau di kawasan berpagar bagi memudahkan proses pemantauan dan pemeriksaan suhu badan,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan di Bangunan Parlimen hari ini.

Jumlah orang ramai juga perlu mengikut keluasan kawasan dengan mematuhi penjarakan fizikal dan tidak boleh melebihi 250 individu pada satu-satu masa serta pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan.

“Waktu keluar mengundi adalah digalakkan mengikut ketetapan SPR. Ini bagi mengelak berlakunya kesesakan di pusat-pusat mengundi,” katanya.

Ismail Sabri berkata SPR akan mengadakan perbincangan dengan wakil parti politik yang bertanding mengenai garis panduan pilihan raya yang memerlukan penilaian berdasarkan situasi semasa.

“Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan untuk PRK ini adalah berdasarkan Akta 342, di bawah Kementerian Kesihatan bagi mencegah penyebaran jangkitan wabak COVID-19 semasa PRK. Bagaimanapun, peraturan di bawah Akta SPR masih diguna pakai semasa PRK berjalan,” katanya.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandang Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai. SPR menetapkan hari penamaan calon pada 15 Ogos manakala pengundian awal pada 25  Ogos dan mengundi pada 29 Ogos.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi, yang mewakili Barisan Nasional, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu Mohd Amran Ibrahim yang bertanding atas tiket PKR dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here