KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) — Turun naik dagangan secara ketara susulan ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, kemerosotan prestasi bank-bank global serta kenaikan kes COVID-19, menjadikan minggu yang baru berakhir ini sebagai minggu ke-25 berturut-turut mencatatkan penjualan asing bersih dalam pasaran ekuiti tempatan.

Bagi perbandingan Khamis ke Khamis, aliran keluar bersih melonjak kepada RM852.13 juta daripada aliran keluar minggu lepas iaitu RM226.1 juta.

Pasaran ditutup pada Jumaat 31 Julai susulan cuti umum sempena sambutan Aidiladha.

Pelabur runcit menjual ekuiti bernilai RM561.1 juta pada minggu ini, sementara pemegang dalam kalangan institusi menjadi penjual bersih dengan nilai RM291.1 juta.

Pada Jumaat, aliran keluar bersih dicatatkan bernilai RM175.2 juta, menjadikan jumlah aliran keluar bersih minggu ini melebihi RM1 bilion.

Prestasi pasaran didorong oleh kenaikan ketara jumlah dagangan memandangkan ia melepasi rekod tertinggi sebanyak tiga kali minggu ini, dengan jumlah saham bertukar tangan sebanyak 87.66 bilion unit setakat Jumaat.

Menurut penganalisis, jumlah dagangan yang tinggi itu dipacu oleh saham berharga rendah terutama dalam kaunter penjagaan kesihatan dan teknologi.

“Petunjuk pasaran, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengalami tekanan sejak awal pandemik COVID-19, dan indeks ini didorong khususnya oleh dua kaunter, Top Glove dan Hartalega,” katanya.

Berasaskan mingguan, FBM KLCI merosot 25.61 mata untuk ditutup pada paras 1,578,14 mata.

“Perang teknologi yang semakin sengit di antara AS dengan China mengakibatkan pasaran bergerak perlahan pada Jumaat, sementara saham perbankan kini mengalami tekanan dengan meningkatnya jumlah pinjaman tidak berbayar (NPL) berikutan pengangguran bertambah akibat pandemik,” katanya.

Beliau berkata bagi keseluruhan pasaran, indeks penjagaan kesihatan telah mengalami kenaikan stabil sehingga kini bagi 2020 apabila melonjak 250 peratus kepada 4,301.40 pada Jumaat.

“Kita menyaksikan kenaikan amat ketara ini dialami beberapa saham utama, terutama kaunter sarung tangan getah di samping dagangan aktif saham farmaseutikal,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kenaikan saham teknologi telah dipacu oleh peningkatan permintaan terhadap automasi dan pendigitan sejak COVID-19 menjejaskan perniagaan menerusi kedai fizikal.

Bagaimanapun beliau berkata perintah eksekutif melarang rakyat AS menggunakan aplikasi milik China, TikTok dan WeChat, — langkah yang bertujuan mengekang pengaruh China dalam teknologi global — telah meningkatkan ketegangan antara kedua-dua kuasa ekonomi dunia itu.

“Malaysia yang berada di antaranya akan menyaksikan saham-saham mencatatkan prestasi tidak banyak berubah bagi jangka terdekat namun, saham teknologi dijangka masih merekodkan aliran meningkat disokong oleh peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan digital,” katanya.

Bagi minggu depan, semua perhatian akan tertumpu kepada pengumuman Bank Negara Malaysia mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua Malaysia, yang akan menggambarkan langkah seterusnya yang perlu diambil oleh bank pusat semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang dijadualkan pada 10 Sept.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here