KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun hari ini menyarankan Ahli Parlimen yang bergejala atau pulang dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (TEMCO) untuk membuat saringan COVID-19. 

Azhar berkata ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang wabak itu berikutan kluster baharu yang melanda utara Semenanjung, iaitu Kluster Sivagangga di Kedah. 

“Sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengekang (COVID-19), saya ingin menyarankan kumpulan berikut membuat saringan. Pertama, mereka yang bergejala atau pesakit bawah siasatan (PUI). Kedua, pesakit di bawah pengawasan (PUS). Ketiga, mereka yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif. 

“Keempat, ini penting kerana saya tahu ahli Yang Berhormat pulang ke kawasan masing-masing, jadi sesiapa yang berada dalam kawasan TEMCO, semi-TEMCO dan TEMCO tempatan, mana-mana Ahli Parlimen yang pulang ke kawasan tersebut, mengikut saranan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu membuat ujian saringan sebelum datang ke dewan,” katanya sebelum memulakan sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.  

Beliau turut meminta whip parti untuk memberikan penekanan kepada Ahli Parlimen yang terlibat. 

Dalam pada itu, Azhar turut memaklumkan penghadang lutsinar telah dipasang sepenuhnya di setiap tempat duduk bagi membolehkan semua Ahli Parlimen duduk semula di tempat masing-masing serta sebagai jarak pemisah bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19.  

“Penghadang lutsinar yang dipasang ini bagi memastikan jarak pemisah (antara Ahli Parlimen) dan tiada kontak rapat. Pemakaian pelitup muka diwajibkan dan hanya perlu dibuka apabila ingin berucap,” katanya.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here