SEMPORNA, 26 Sept — Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bubul jam 8.16 pagi ini.

Beliau yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang tiba di perkarangan sekolah itu pada 8.06 pagi, bersama isteri, Datin Seri Suriyani Shuib.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Mohd Shafie berkata, beliau berpuas hati dengan proses pengundian di Pusat Daerah Mengundi (PDM) berkenaan.

“Perjalanan proses pengundian pagi ini berjalan lancar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Saya harap peratusan yang keluar mengundi akan mencapai sasaran seperti kebiasaannya,” katanya.

Mohd Shafie ditentang empat lagi calon iaitu Norazman Utoh Nain (Perikatan Nasional), yang juga anak buahnya, serta D Pg Ahmad Datu Ali Alam (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO) dan Madjalis Lais (Parti Cinta Sabah)

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pemilih berdaftar di DUN Senallang adalah 14,336 orang, DUN Bugaya (20,267) dan DUN Sulabayan (14,012).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here