KUALA LUMPUR, 25 Sept — Agrobank menyarankan usahawan untuk mempunyai perancangan kewangan yang baik dan menggunakan kemudahan moratorium dan pembiayaan yang ditawarkan oleh institusi kewangan dengan bijak.

Dalam kenyataan hari ini, Agrobank berkata usahawan perlu berani berinovasi dan meneroka cabang baharu perniagaan agar terus bertahan dalam menghadapi situasi semasa di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19 dan pasca moratorium.

Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata pelanggan bank perlu menilai semula aliran tunai syarikat dan komitmen kewangan mereka dan mendapatkan sesi konsultasi daripada pihak bank sekiranya memerlukan penjadualan dan penstrukturan semula selepas tempoh automatik moratorium berakhir pada 30 September ini.

“Ini adalah penting kerana kita tidak mahu melihat pelanggan Agrobank terpaksa menutup perniagaan mereka hanya kerana tempoh getir ini yang bagi saya boleh kita tempuhi bersama. Jika tidak pasti, datang berjumpa dengan pegawai bank untuk mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan,” katanya.

Beliau berkata pakar ekonomi meramalkan sektor pertanian dan agro-makanan akan pulih lebih cepat berbanding sektor lain.

Sehubungan itu, beliau berkata individu harus bijak merancang perniagaan dan mendapatkan khidmat nasihat kewangan yang sewajarnya.

Sementara itu usahawan tani muda Agrobank yang juga Pengurus Kualiti Pengeluaran Jaya Nets Sdn Bhd, Michael Chew Heng Hao berkata usahawan harus mempunyai perancangan kewangan yang baik dan berani berinovasi dengan mengambil peluang kemudahan moratorium sebagai penyuntik modal perniagaan baharu.

Selain itu, mereka juga perlu memperkukuh dan mengekalkan posisi perniagaan sedia ada, katanya.

“Seperti yang lain, syarikat kami juga mengambil kemudahan moratorium yang ditawarkan oleh Agrobank.

“Bagaimanapun, kami di Jaya Nets dan usahawan yang lain mengambil peluang daripada kemudahan moratorium ini dan menambah baik strategi perniagaan dengan menggunakan lebihan aliran tunai daripada moratorium untuk menjana pendapatan baharu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here