PETALING JAYA, 28 Sept: Lebihan ruang pejabat dijangka meningkat buruk apabila bank menamatkan moratorium ke atas bayaran balik pinjaman, kata firma hartanah dan badan pemikir.

Agensi Henry Butcher berkata, jangkaan sektor pejabat dalam masa terdekat masih mencabar, terutama selepas tamatnya tempoh moratorium pinjaman.

“Lebih banyak syarikat akan ditutup melainkan kerajaan melaksanakan langkah sokongan tambahan untuk komuniti perniagaan.

“Ini boleh memberi kesan ke atas permintaan terhadap ruang pejabat,” kata ketua pegawai operasinya, Tang Chee Meng.

Beliau memberitahu FMT bahawa permintaan ruang pejabat semakin berkurang susulan penutupan perniagaan, pembuangan pekerja, penangguhan rancangan pembesaran, fokus terhadap ruang pejabat fleksibel dan aturan bekerja dari rumah berikutan wabak Covid-19.

Menurut Laporan Pasaran Hartanah 2020, jumlah ruang pejabat di Malaysia berjumlah 17.09 juta meter persegi, di mana hanya 12.70 juta meter persegi diisi.

Tang berkata, lebihan penawaran ruang pejabat juga boleh mempengaruhi kadar sewa.

“Bangunan baru tidak akan mencapai kadar penghunian yang memuaskan selepas siap dibina dan pemilik perlu menimbangkan tawaran kadar sewa dan insentif menarik untuk menarik penyewa.

“Melainkan aktiviti ekonomi berkembang dan permintaan ruang pejabat meningkat, spenempatan semula syarikat ke bangunan baru siap hanya akan mengakibatkan pertambahan ruang kosong di bangunan asal yang dihuni oleh syarikat sebelum berpindah.”

Namun beliau berkata, indeks sewa untuk bangunan pejabat pada suku ke-2 tahun ini kekal stabil.

Sementara itu, Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi berkata, pandemik Covid-19 mungkin meningkatkan permintaan untuk jenis ruang pejabat tertentu.

“Perniagaan yang beroperasi secara dalam talian mungkin memerlukan ruang pejabat yang lebih kecil untuk menyimpan produk dan barang mereka. Permintaan untuk ruang pejabat lebih kecil mungkin meningkat sebenarnya,” kata pengarah eksekutif SERC, Lee Heng Guie kepada FMT.

Lee berkata, kini adalah masa terbaik bagi mereka yang mahu menyewa ruang pejabat.

“Ada banyak pilihan dengan harga sewa yang lebih baik.”

Beliau berkata pihak berkuasa yang berkenaan perlu memainkan peranan besar dalam memantau projek bangunan pejabat pada masa akan datang.

Tang berkata, seiapa yang berhasrat untuk membuat projek bangunan pejabat perlu menjalankan kajian pasaran secara menyeluruh terlebih dahulu.

“Mereka tidak sepatutnya meneruskan projek atas alasan prestij semata-mata, tetapi perlu benar-benar pasti tentang prospek mengisi bangunan dalam tempoh yang berpatutan apabila siap,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa yang memberikan kelulusan juga perlu memantau keadaan dan memperlahankan kelulusan projek bangunan pejabat baru sekiranya wujud potensi berlakunya lebihan penawaran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here