PETALING JAYA,14 Okt: Tiga lagi syarikat penerbangan antarabangsa menyambung operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal bulan ini.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, British Airways menawarkan 4 penerbangan seminggu ke United Kingdom, Oman Air akan melakukan 2 penerbangan seminggu ke Muscat dan Ethiopian Airlines menawarkan satu penerbangan mingguan ke Addis Ababa.

Katanya, trafik penumpang pada bulan lalu naik 19% kepada 1.7 juta, manakala pergerakan pesawat meningkat 9.8% kepada 27,010.

“Langkah keselamatan Covid-19 yang berkesan di KLIA terus menyumbang ke arah peningkatan keyakinan dalam perjalanan udara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MAHB berkata, operasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gocken di Istanbul mencatatkan hampir 2 juta trafik penumpang bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata penerbangan kargonya juga terus berdaya tahan, dengan purata operasi kargo sepanjang 8 bulan tahun ini mencecah 65,000 tan sebulan berbanding 76,000 tan sebulan pada 2019.

“Walaupun berlaku penurunan awal muatan kargo udara pada Mac dan April lalu akibat pengurangan kapasiti kargo, kekurangan ini segera diisi syarikat penerbangan kargo penuh.

“Ini membuktikan KLIA kekal sebagai hab serantau menarik untuk penerbangan.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here