KUCHING, 23 Okt — Kerajaan negeri Sarawak memperuntukkan RM104.84 juta untuk melaksanakan fasa empat Bantuan Khas Sarawakku Sayang 4.0 (BKSS 4.0) bagi membantu meringankan beban rakyat dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata BKSS 4.0 itu akan dilaksanakan menerusi tujuh langkah untuk mengurangkan kesan pandemik sehingga hujung tahun ini berikutan peningkatan kes COVID-19 baru-baru ini yang terus menjejaskan perniagaan dan punca pendapatan rakyat.

“Saya berharap lanjutan BKSS sehingga hujung tahun ini akan memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas teruk akibat pandemik ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dua daripada langkah yang diumumkan melibatkan pemberian diskaun bil bekalan elektrik dan air yang diteruskan sehingga Disember tahun ini, yang akan memberi manfaat kepada 686,847 pengguna elektrik dan 568,247 pengguna air terawat di seluruh negeri.

“Diskaun sewa sebanyak 50 peratus untuk skim rumah sewa Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) (Sarawak) merangkumi tempoh tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2020. Bantuan ini dijangka memanfaatkan lebih daripada 3,200 pengguna yang menyewa HDC di seluruh Sarawak,” katanya menjelaskan langkah ketiga bantuan itu.

Abang Johari berkata bantuan sekali beri atau ‘one-off’ sebanyak RM500 yang sebelum ini diberi kepada pemandu teksi, operator bas dan van sekolah, operator bot penambang dan van berlesen pada Julai lepas, juga akan diperluaskan kepada pemandu e-panggilan (e-hailing) dan tenaga pengajar memandu di bawah BKSS 4.0.

“Kabinet (negeri) membuat keputusan untuk memberikan bantuan sama kepada 2,396 pemandu e-panggilan dan 791 tenaga pengajar memandu di negeri ini yang akan melibatkan perbelanjaan kerajaan negeri Sarawak sebanyak RM1.59 juta,” katanya.

Abang Johari berkata diskaun 50 peratus kepada lebih 10,000 penjaja yang menyewa tapak di pasar dan gerai pihak berkuasa tempatan juga akan diteruskan sehingga Disember tahun ini.

Beliau berkata kerajaan Sarawak juga akan meneruskan pemberian pengecualian yuran lesen dan permit kepada peniaga kecil, penjaja, peniaga pasar malam dan tamu di bawah pihak berkuasa tempatan negeri, selain mengecualikan sewa kepada perusahaan kecil dan sederhana yang menjalankan perniagaan di premis milik syarikat berkaitan kerajaan negeri atau badan berkanun.

“Sejak enam bulan lepas, kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) telah melaksanakan BKSS 1.0, 2.0 dan 3.0 bernilai RM2.55 bilion dan memberi manfaat kepada kira-kira 3.08 juta penerima di seluruh negeri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here