KUALA LUMPUR, 23 Okt — Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mengesyorkan agar kerajaan mewajibkan peniaga minuman keras atau pusat hiburan menyediakan kemudahan untuk menyewa pemandu atau ‘pemandu khusus” sebagai antara syarat wajib untuk memohon lesen perniagaan.

Pengerusi MIROS Datuk Suret Singh berkata, beberapa negara membangun seperti Australia dan Jepun telah mengguna pakai kaedah ini dan berjaya mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol.

“Pemandu yang mengambil minuman beralkohol tidak digalakan untuk memandu demi memastikan keselamatannya dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam ini.

Beliau berkata, usaha untuk mencegah aktiviti berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol, merupakan sebahagian daripada strategi perancangan keseluruhan keselamatan jalan raya untuk semua.

Hukuman yang lebih berat kerana kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dapat memberi kesedaran kepada masyarakat agar mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan jalan raya lebih selamat untuk semua pengguna jalan raya, katanya.

Meskipun pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menguatkuasakan undang-undang ini, beliau menegaskan bahawa MIROS akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, serta jabatan dan agensi yang berkaitan untuk menjalankan lebih banyak program advokasi dan kesedaran.

Advokasi, katanya penting untuk memastikan bahawa rakyat memahami tujuan kerajaan mengenakan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara cuai.

“Setiap pemandu harus bertanggungjawab dan tidak memandu setelah minum minuman beralkohol. Jangan berdegil dan bersigat ego – Elakkan memandu ketika mabuk,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here