KUALA LUMPUR, 19 Sept – Penyedia perkhidmatan elektronik kerajaan Malaysia, MY E.G. Services Bhd (MyEG) menjalin kerjasama dengan firma milik kerajaan China, Guangxi Beitou IT Innovation Technology Investment Group Co Ltd dalam usaha memanfaatkan platform blok rantai Zetrix.

Kerjasama itu menawarkan perkhidmatan pengesahan kelayakan rentas sempadan, sekali gus membuka jalan bagi pendigitalan dokumen penting, termasuk kelayakan identiti utama yang dikeluarkan oleh kerajaan. 

Zetrix yang dibangunkan oleh MyEG merupakan blok rantai Lapisan 1 awam yang memudahkan aspek kontrak pintar selain memberi penyampaian privasi, keselamatan dan berskala.

Usaha memanfaatkan kuasa blok rantai tersebut membolehkan rakan kerjasama itu menjalankan demonstrasi aplikasi awam bagi pengeluaran lesen memandu digital sebagai kelayakan disahkan yang dimulakan dengan warga China.

Demonstrasi tersebut telah dijalankan di Ekspo China-ASEAN yang berlangsung pada 16-20 Sept di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan China.

Dalam kenyataan hari ini, Pengasas Bersama merangkap Pengarah Urusan Kumpulan MyEG Wong Thean Soon berkata, syarikat tersebut akan terus membangunkan aplikasi dunia nyata Web3 yang memanfaatkan fungsi unik dalam memastikan kesahihan dokumen, termasuk bukti kelayakan identiti dan dokumen perdagangan.

Sementara itu, Pengerusi Beitou IT Innovation Shuiping Lai berkata platform pengesahan kelayakan rentas sempadan yang berdasarkan kepada infrastruktur blockchain antarabangsa, juga menjadi cubaan bermakna bagi pasukan profesional digital kedua-dua pihak terbabit.

Pada Mac 2023, MyEG telah memeterai perjanjian dengan East Logistic-Link Co. Ltd, agensi milik penuh Pentadbiran Am Kastam China bagi menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan fasilitasi perdagangan rentas sempadan, termasuk sijil asal pada Zetrix.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here