KUALA LUMPUR, 6 Nov — Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini akan memastikan sektor perniagaan dan ekonomi terus didorong melalui pelbagai langkah khusus, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, langkah-langkah khusus itu bukan sahaja memberi sokongan pembiayaan tetapi juga menambah baik ekosistem perniagaan secara umumnya.

“Saya yakin Malaysia akan terus kekal  sebagai destinasi pilihan kepada pelabur-pelabur asing dan domestik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Belanjawan 2021 dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen, di sini, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, usaha memastikan ketahanan ekonomi negara juga adalah antara fokus utama kerajaan dalam belanjawan kali ini.

Kerajaan, katanya, komited dalam melaksanakan belanjawan pengembangan sementara terus mengekalkan disiplin fiskal.

Pengumuman Belanjawan 2021 hari ini, kata Muhyiddin, juga akan meneruskan momentum yang telah dicapai selepas pelaksanaan empat pakej rangsangan yang diumumkan terlebih dahulu yang bernilai RM305 bilion. 

Empat pakej rangsangan itu adalah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS +, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan KITA PRIHATIN.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here