PETALING JAYA, 20 Nov: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengingatkan kerajaan supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas untuk menakut-nakukan rakyat demi kepentingan politik.

Mahathir berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa kerajaan tidak akan dapat membayar segala komitmennya, termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi Covid-19 sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat.

“Menteri kewangan dan lain-lain pemimpin kerajaan amat tidak bertanggungjawab dengan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan yang jelas bertujuan untuk menekan ahli Parlimen untuk meluluskan Belanjawan 2021 walaupun ia adalah belanjawan yang banyak kekurangan dan keburukannya.

“Kenyataan itu secara langsung bertujuan mengekang ahli Parlimen daripada melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan belanjawan itu adalah untuk kepentingan rakyat, bukan kepentingan politik parti yang memerintah,“ katanya dalam kenyataan. Powered by Streamlyn

Beliau berkata, kenyataan Zafrul itu juga mengambarkan semua ahli Parlimen perlu memberi “blank cheque” dan menyokong kelulusan belanjawan walaupun terdapat kecacatan yang nyata di dalamnya.

Katanya, amatlah tidak berasas bagi menteri kewangan dan mana-mana pemimpin kerajaan mengugut ahli Parlimen supaya menyokong Belanjawan 2021 atas alasan jika ia ditolak, penjawat awam dan petugas barisan hadapan tidak akan menerima gaji.

”Ini tidak benar sama sekali. Semasa saya perdana menteri pada tahun 1999, Belanjawan 2000 yang dibentangkan pada bulan Oktober tidak diteruskan perbahasannya kerana Parlimen dibubar pada Nov tahun tersebut untuk pilihan raya umum ke 10.

“Setelah pilihan raya selesai, kerajaan dengan mandat baru mendapat kelulusan Dewan Rakyat untuk memperoleh peruntukan awal bagi perbelanjaan kerajaan selama 2-3 bulan sementara menunggu persidangan khas belanjawan diadakan pada Februari 2000,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here