KUALA LUMPUR, 8 Dis — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang meneroka potensi gelembung perjalanan dengan negara-negara zon hijau semasa penularan pandemik COVID-19, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata kementerian telah mengadakan konsultasi dengan beberapa agensi kerajaan dan wakil penggiat industri pelancongan bagi mengenal pasti mekanisme untuk membuka semula aktiviti pelancongan rentas sempadan dengan cara yang selamat dan sistematik.

“Antara mekanisme yang sedang diterokai kementerian ialah destinasi ke destinasi, pulau-pulau serta lawatan dalam kumpulan kecil khususnya aktiviti pelancongan minat khas seperti golf, selam skuba, bird watching, hiking, caving.

“…yang mana itinerari perjalanan diluluskan dahulu oleh pihak berkuasa terlibat dan urusan perjalanan diuruskan syarikat agensi pelancongan berlesen,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata perkara itu antara inisiatif yang terkandung dalam Pelan Pemulihan Pelancongan dan Pelan Pemulihan Kebudayaan dalam usaha kementerian memulihkan semula sektor pelancongan negara yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19.

Katanya inisiatif turut merangkumi usaha memulihkan keyakinan orang awam untuk kembali melancong sekali gus merancakkan semula pelancongan domestik dengan menawarkan pakej pelancongan yang lebih kreatif dan menarik melalui platform digital.

Terdahulu, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) ketika membahaskan rang undang-undang itu meminta kementerian memperincikan Pelan Pemulihan Pelancongan dan Pelan Pemulihan Kebudayaan yang disifatkannya sebagai tidak bersasar.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi MOTAC kemudiannya diluluskan dengan undian belah bahagian yang menyaksikan 109 ahli Parlimen menyokong berbanding 96 yang tidak bersetuju dan 15 tidak hadir.

Seramai 10 ahli Parlimen menyertai perbahasan rang undang-undang itu, masing-masing lima daripada blok penyokong kerajaan dan pembangkang. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here