HULU TERENGGANU, 20 Dis — Pihak bomba terpaksa mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memujuk seorang penduduk di Kampung Lenjang di sini yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), tengah malam semalam meskipun rumahnya berisiko dinaiki air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang, Hanaffi Mohd berkata apabila dipujuk wanita berusia 30an yang mempunyai empat orang anak itu memberikan pelbagai alasan untuk tidak berpindah.

“Kami juga terpaksa ‘mengumpan’ anak-anaknya untuk merasai pengalaman menaiki lori bomba supaya mereka turut bersetuju berpindah ke PPS,” katanya kepada pemberita di rumah wanita tersebut di Kampung Lenjang di sini.

Tinjauan pemberita yang turut berada di lokasi tersebut mendapati ibu muda itu akhirnya bersetuju untuk berpindah pada pukul 12.15 tengah malam tadi.

Sementara itu di PERMAISURI, tiga sekeluarga termasuk seorang bayi lelaki berumur setahun berdepan detik cemas apabila pacuan empat roda yang dinaiki tergelincir dan hampir terjunam ke dalam sungai ketika melalui sebuah jambatan di Kampung Sri Bayas, di sini malam tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here