PUTRAJAYA, 13 Ogos — Suntikan dos lengkap vaksin COVID-19 yang meningkat dalam kalangan populasi dewasa di lima negeri berjaya membantu menurunkan kes kemasukan pesakit kategori tiga hingga lima ke hospital di negeri terbabit.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata suntikan dos lengkap itu juga telah mengurangkan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi ketiga-tiga kategori di semua negeri terlibat iaitu Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kita mendapati apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 dalam kalangan populasi dewasa berusia 18 tahun ke atas di Labuan mencapai 63.4 peratus, Sarawak (55.7 peratus), Negeri Sembilan (40.1 peratus), Kuala Lumpur (78.3 peratus) dan Putrajaya (69.3 peratus), terdapat penurunan bagi kemasukan kes kategori tiga hingga lima ke hospital dan ICU.

“Negeri-Negeri lain pula belum menunjukkan trend penurunan kerana peratusan liputan dos lengkap masih kurang,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan semasa COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata trend penurunan itu turut dapat dilihat di Hospital Sungai Buloh selepas kerajaan melaksanakan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang untuk mempercepat vaksinasi dalam kalangan penduduk dewasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here