KUALA LUMPUR, 29 Jan — Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah mengagihkan geran bernilai RM2.35 juta yang akan memanfaatkan 47 penerima terdiri daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta syarikat pemula niaga.

Sebanyak 70 peratus penerima terdiri daripada syarikat industri kandungan kreatif digital manakala selebihnya melibatkan perkhidmatan profesional (21%) , pendidikan (7%) dan industri lain sebanyak 2 peratus. 

MDEC dalam satu kenyataan menjelaskan penyaluran geran ini dilaksanakan di bawah inisiatif yang diumumkan menerusi Geran Kreatif Digital 2020 (Belanjawan 2020) dan Geran Kandungan Digital PENJANA.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri,  agensi tersebut telah membuka ruang kepada PKS dan syarikat pemula niaga untuk berkembang pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dengan memperkasakan bakat digital, membolehkan perniagaan diperkasakan secara digital dan menarik pelaburan sektor digital.

“MDEC sentiasa menyokong ekosistem digital dan mempercepatkan penggunaan digital. Pemberian geran ini bertujuan untuk meningkatkan kemampuan dan seterusnya memberi peluang kepada perniagaan untuk menjadi juara di rantau ini,” katanya.

“Menjelang 2025, MDEC yang telah diperbaharui akan berusaha gigih dalam menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN,” katanya. 

Pada masa ini, MDEC terus menilai dan akan mengumumkan penerima geran yang lebih berjaya dalam masa terdekat. 

Inisiatif-inisiatif yang bertujuan untuk memperkasakan perniagaan digital adalah sebahagian daripada tiga tonggak rangka kerja strategik MDEC iaitu Pekerjaan Digital, Perniagaan Digital dan Pelaburan Digital.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here