PETALING JAYA, 11 Mac: Yang di Pertua Dewan Negara Rais Yatim berkata, terdapat pelbagai kekangan untuk melaksanakan dasar undi-18, walaupun selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Rais berkata, negara masih tidak bersedia untuk membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu, memandangkan proses untuk mendapatkan senarai bakal pengundi usia 18 tahun turut memakan masa lama.

“Ini soal politik. Walaupun sudah lulus, tetapi memberikan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun itu memakan masa yang sangat lama.

“Ia kena diambil daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan senarai konstituensi atau kawasan (di seluruh negara).

“Ia sekali gus melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan terdedah dengan tempoh masa yang lama.

“Setelah melihat situasi yang sebenar, undi 18 tahun ini tidak praktikal untuk diadakan pada musim ini,” katanya seperti dilaporkan akhbar Utusan Malaysia.

Rais berkata demikian bagi menjawab soalan daripada penonton secara atas talian berkenaan status had umur mengundi 18 tahun dalam program Ruang Bicara bertajuk “Signifikan Parlimen dalam Pembinaan Negara Bangsa”, malam tadi.

Para 16 Julai 2019, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Arif Md. Yusof meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon layak bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa pelaksanaan usia layak mengundi baharu dan pendaftaran pengundi automatik dijangka bermula selewat-lewatnya Julai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here