PETALING JAYA,18 Mac: Pemegang taruh industri pelancongan menghargai tindakan kerajaan mendengar rayuan mereka, tetapi mahu lebih banyak dilakukan Putrajaya untuk memulihkan industri itu.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menyambut baik pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan untuk hotel serta potongan 10% bil elektrik, tetapi ada beberapa cadangan industri itu tidak ditangani.

“Industri pelancongan, khasnya hotel, menjangkakan lanjutan program subsidi upah, bantuan yang amat diperlukan untuk membantu majikan mengekalkan tenaga kerjanya. Kami berharap kerajaan akan mempertimbangkan subsidi lebih tinggi bagi pelancongan.

“Lanjutan pengecualian cukai pelancongan serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk hotel sehingga akhir tahun ini akan membantu pemulihan, apabila larangan rentas negeri dibatalkan.

“Ini, bersama pengecualian levi dan bayaran lain untuk industri pelancongan, sebahagian daripada cadangan diserahkan industri kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” kata Presiden MAH, N Subramaniam dalam kenyataan.

Subramaniam berkata, awal tahun ini, MAH menyerahkan cadangan 19+2 perkara kepada kementerian itu yang menggariskan bantuan segera diperlukan industri itu, satu daripadanya ialah potongan 50% bil elektrik, susulan pengumuman keuntungan bersih Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebanyak RM3.4 bilion untuk 2020, ketika seluruh industri pelancongan mengalami kerugian besar.

“Kami berdepan waktu yang belum pernah berlaku dan TNB patut lebih bertimbang rasa terhadap industri pelancongan. Diskaun 10% yang diumumkan dan dilanjutkan sehingga Jun tidak signifikan, khasnya pada waktu hotel beroperasi pada kadar penginapan rendah.”

Ketika ini, Subramaniam berkata, MAH melaporkan purata kadar penginapan hotel 20% pada Januari lalu dan hanya 18% pada bulan lalu.

Beliau menggesa kerajaan untuk membatalkan larangan rentas negeri.

“MAH percaya perjalanan udara domestik antara zon hijau boleh dilaksanakan dan ia mungkin pilihan lebih selamat. Pengembara perlu menunjukkan tempahan hotel dan penerbangan disahkan untuk dibenarkan merentas negeri. Ini bukan saja dapat memastikan perjalanan selamat, tetapi juga membantu syarikat penerbangan, boleh dikatakan paling teruk terjejas dalam industri pelancongan.”

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Nigel Wong menggesa kerajaan menyediakan pelan tindakan untuk pembukaan semula sempadan dan perjalanan antara negeri.

“Selain bantuan kewangan, apa yang kami nantikan ialah tarikh kerajaan merancang pembukaan sempadan antarabangsa supaya industri boleh bersiap sedia.

“Buat masa ini, terlalu banyak ketidaktentuan berhubung SOP dan dasar kerajaan. Disebabkan itu, industri tidak dapat membuat persiapan lebih baik,” katanya kepada FMT.

Naib Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia, Sri Ganesh Michiel menggesa kerajaan memperkenalkan satu pakej rangsangan khas untuk membantu hotel bertaraf tiga bintang dan ke bawah.

“Perniagaan kami terjejas sejak Disember 2019 dan dengan krisis Covid-19, ia akan mengambil masa lebih lama untuk pulih,” katanya dalam kenyataan.

Persatuan itu menggesa kerajaan negeri memainkan peranan dalam meningkatkan pelancongan bagi membantu hotel bajet dan agensi pelancongan terus bertahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here