KUALA LUMPUR, 18 Mac — Kaunter pusat bantuan Persatuan Penjaja Pasar Dato Keramat akan dibuka kira-kira 10 pagi bagi membantu peniaga Pasar Dato Keramat yang terjejas selepas premis pernigaan mereka di pasar itu dijilat api.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kaunter berkenaan dibuka di kawasan kebakaran bagi mengumpul maklumat mangsa untuk tujuan menyalurkan bantuan.

“Sekarang ini, mereka perlu membuat laporan polis terlebih dahulu dan mengumpul maklumat apa yang mereka rugi untuk mendaftar di kaunter berkenaan sebelum sebarang bantuan disalurkan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini semalam.

Mengulas mengenai penempatan bazar Ramadan peniaga-peniaga pasar itu, Rina berkata beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Saya difahamkan mereka (peniaga) hendak membuka bazar Ramadan dan kini premis mereka terbakar maka mereka memerlukan penempatan baharu untuk berniaga,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Nardim Awang mewakili perdana menteri menyampaikan bantuan wang ihsan kepada peniaga-peniaga Pasar Dato Keramat yang terjejas.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa yang turut melawat pasar berkenaan malam ini berkata status tanah tapak perniagaan Pasar Dato Keramat akan dibincangkan bersama pemaju dalam masa terdekat.

“Perkara ini (status tanah) akan dibincangkan bersama pemaju tapak pasar berkenaan dalam tempoh terdekat, kita akan capai satu keputusan,” katanya.

Hari ini, lebih 40 deretan kedai di Pasar Dato Keramat, di sini, terbakar dalam kejadian petang tadi namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here