KOTA KINABALU, 18 Mac– Sabah membenarkan hidangan secara bufet di semua hotel dan rumah penginapan berbayar yang mempunyai restoran di dalam premis berkenaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata SOP itu termasuk merekodkan kehadiran pelanggan menerusi aplikasi MySejahtera, Sabah Trace atau buku catatan, selain pelanggan perlu membuat imbasan suhu badan serta menggunakan pelitup muka semasa mengambil makanan.

“Setiap hotel dan restoran diminta menyediakan sarung tangan plastik atau cecair pembasmi kuman untuk pelanggan selepas menggunakan sudu penghidang secara bergilir. Semasa beratur di kaunter, semua pelanggan harus mematuhi penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata restoran dan kafe dalam premis turut dibenarkan beroperasi bagi semua perkhidmatan penuh termasuk tempahan bilik dan penghantaran, selain restoran di hotel boleh menerima tetamu secara berkumpulan dengan penjarakan fizikal serta tertakluk kepada kapasiti restoran.

Waktu makan boleh dibuat secara berkala atau berjadual untuk mengelakkan kesesakan, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here