PETALING JAYA,Mar 18: Hari ini genap setahun sejak Malaysia pertama kali melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengawal penularan Covid-19, dengan sempadan antarabangsa masih dikawal ketat.

FMT mengimbau kembali peristiwa penting dalam tempoh setahun negara berada bawah PKP.

Pembelian panik, balik kampung

Sejurus selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP, rakyat tergesa-gesa keluar mencari barang keperluan penting, dengan pasar raya dan kedai runcit dipenuhi orang ramai yang membeli pada saat-saat akhir.

Roti ibarat pisang goreng panas, namun ternyata ia dibeli lebih daripada yang diperlukan. Ini kerana beberapa hari kemudian, banyak roti dilihat dibuang begitu sahaja kerana telah melepasi tarikh luput.

Sempadan negeri turut sesak dengan warga kota membuat perjalanan balik ke kampung halaman masing-masing sebelum PKP dikuatkuasakan.

PKPD pertama

Dua kawasan di Simpang Renggam, Johor, menjadi lokasi pertama pelaksanaan PKP diperketat (PKPD) pada 27 Mac. Laluan keluar masuk di dua kawasan itu dipasang kawat besi dan dikawal rapi pasukan tentera.

Penguatkuasaan PKPD bermaksud sekatan sepenuhnya di mana penduduk tidak dibenarkan langsung meninggalkan rumah dan setiap sektor ekonomi diarahkan tutup supaya saringan Covid-19 boleh dijalankan ke atas setiap penduduk.

Ketika PKPD diisytiharkan di Pasar Borong Selayang, segelintir warga asing dilihat memanjat kawat besi untuk keluar masuk zon-zon terlibat.

Kehadiran penyu, alam mula ‘pulih’

Ketika rakyat mengadu terpaksa duduk di rumah, alam sekitar nampaknya lebih menghargai sekatan yang dikenakan ke atas pergerakan manusia. Memerang dilihat merayau di tebing sungai dan penyu dilaporkan bertelur di Port Dickson.

Setelah sebulan PKP dilaksanakan, NGO alam sekitar Pusat Alam Sekitar Global menerima banyak laporan daripada komuniti yang tinggal di sepanjang Sungai Klang dan Sungai Gombak tentang kualiti air yang lebih baik.

Air di Sungai Pinang di Pulau Pinang, yang hitam sebelum itu, bertukar jernih kerana kilang tidak lagi melepaskan efluen ke dalamnya.

Keuntungan melonjak bagi pengeluar sarung tangan, syarikat e-hailing

Ketika rakyat terpaksa duduk di rumah, syarikat penghantaran menerima lebih banyak permintaan, dengan lebih ramai penunggang motosikal menawarkan diri untuk berkhidmat.

Sementara itu, permintaan antarabangsa yang melonjak bagi sarung tangan getah membawa keuntungan lumayan buat syarikat seperti Top Glove, Supermax Corp and Hartalega sewaktu wabak sedang melanda.

Dr Noor Hisham antara tokoh utama dalam pengurusan wabak

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah disenaraikan oleh China Global TV Network (CGTN) sebagai salah seorang daripada tokoh peneraju utama pengurusan wabak Covid-19.

Beliau disenaraikan di samping Dr Anthony Fauci dari Amerika Syarikat, dan Dr Ashley Bloomfield dari New Zealand.

Serbuan imigresen di KL

Pada Mei, Jabatan Imigresen mula melancarkan banyak operasi di Kuala Lumpur bagi menangkap pendatang asing tanpa izin, dengan Menara City One menjadi lokasi pertama serbuan.

Tindakan ini dikecam persatuan sivil dan pakar kesihatan, yang memberi amaran ia boleh menyebabkan mereka bersembunyi, justeru memberi kesan terhadap usaha kerajaan mengesan mereka yang mungkin dijangkiti virus.

Malaysia masuk fasa pemulihan, sektor ekonomi dibuka semula

Dengan jumlah kes Covid-19 makin menurun, lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula pada April 2020, sementara beberapa sekatan dihapuskan ketika negara beralih kepada PKP bersyarat (PKPB) pada 4 Mei.

Tidak lama kemudian, Malaysia memasuki fasa PKP pemulihan (PKPP), dengan hampir semua aktiviti sosial, termasuk aktiviti keagamaan, dan aktiviti dalam sektor pendidikan dan perniagaan dibuka secara berperingkat.

Tiada lagi kes Covid-19 tempatan

Tiada jangkitan Covid-19 tempatan dilaporkan pada 1 Julai, kali pertama sejak negara dikenakan sekatan pada Mac. Hanya satu kes import dilaporkan, melibatkan rakyat Malaysia yang pulang dari Turki.

Rekod sifar jangkitan tempatan kekal beberapa hari, sementara jumlah jangkitan berada pada paras satu angka.-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here