IPOH, 5 Mei — Pembinaan sebuah kilang sarung tangan getah di Batu Gajah yang melibatkan pelaburan mencecah RM800 juta dalam tempoh 10 tahun bakal mewujudkan 4,000 peluang pekerjaan pada  masa akan datang.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata usaha sama di antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan Professional Latex Sdn Bhd ini dijangka memberi faedah berterusan melalui pertumbuhan jangka panjang, kewujudan peluang pekerjaan, meningkatkan aspek kemahiran dan memangkin pembudayaan inovasi.

“Pelaburan ini bersifat strategik memandangkan penularan pandemik COVID-19 telah meningkatkan permintaan hasil industri berasaskan getah serta sektor berkaitan penjagaan kesihatan.

“Pasaran eksport bagi sarung tangan getah negara pada tahun ini dianggarkan mencecah 220 bilion unit, iaitu 67 peratus daripada permintaan dunia.

“Permintaan kepada sarung getah di peringkat antarabangsa sahaja meningkat daripada 380 bilion kepada 420 bilion pada tahun ini dan dijangka kekal tinggi berikutan beberapa faktor termasuk peningkatan kesedaran dalam penggunaan sarung getah, perubahan kaedah operasi korporat serta penggunaan mandatori dalam pelbagai aktiviti ekonomi dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Ketua Eksekutif PKNPk Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Professional Latex Kok Yoon Lim.

Ia antara lain melibatkan pembinaan kilang sarung tangan getah di atas tanah seluas 18.3 hektar di tapak perindustrian Bemban II, Sungai Terap, Batu Gajah yang mana pelaburan itu akan melibatkan lima fasa dalam tempoh 10 tahun dengan pelaburan bagi fasa pertama dijadual bermula pada 2023 hingga 2024 membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM160 juta.

Jelas Saarani, apabila siap sepenuhnya, kilang ini akan mempunyai 80 barisan pengeluaran dengan anggaran penghasilan 24 bilion sarung tangan setahun.

“Anggaran itu berdasarkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) norma baharu dalam aktiviti-aktiviti seperti yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selain garis panduan pematuhan sosial seperti yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.

“Inisiatif ini adalah selaras dengan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan kerjasama pintar sebagai sebahagian daripada pendekatan penting kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri melalui penglibatan aktif sektor swasta sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk setempat,” katanya.

Saarani berkata lebih banyak syarikat tempatan mahupun luar negara akan bertapak di Perak dengan pelbagai insentif seperti galakan pelaburan, ekosistem perniagaan dan infrastruktur yang komprehensif, akses kemudahan logistik selain kadar upah buruh yang masih kompetitif. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here