KOTA BHARU, 6 Mei  — Kerajaan Kelantan bersetuju untuk membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) kelapan di Gelanggang Seni bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin berkata pembukaan pusat terbaharu itu susulan kemudahan hospital sama ada unit rawatan rapi (ICU) dan PKRC sedia ada semakin tepu apabila penggunaannya melebihi 80 peratus.

Beliau berkata PKRC kelapan di Kelantan itu dijangka dapat memuatkan 150 pesakit pada satu-satu masa.

“PKRC Gelanggang Seni agak istimewa kerana akan diletakkan peralatan yang lebih baik kerana bakal menempatkan orang yang lebih berisiko dan memberi keselesaan kepada pesakit warga emas berusia lebih 60 tahun.

“Walaupun mereka pada tahap satu dan tidak mempunyai simptom tetapi keadaan mereka boleh berubah pada bila-bila masa. Kita akan menempatkan pakar di PKRC berkenaan untuk memantau pesakit,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin dan Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Dr Izani berkata masyarakat perlu mengakui bahawa COVID-19 ini memang wujud dan kerajaan sentiasa memikirkan nyawa rakyat.

“Sebab itu kerajaan negeri memohon dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memperketatkan sedikit prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Apa yang kita lihat sekarang pelanggaran terhadap SOP dilakukan sewenang-wenangnya oleh masyarakat. Walaupun di Kelantan tiada bazar Ramadan namun keadaan yang wujud sekarang seolah-olah ada bazar,” katanya.

Jelasnya, banyak gerai jualan penjaja di tepi-tepi jalan yang didapati terlalu rapat dan pihaknya akan cuba menjarakkan mereka hingga tiga meter antara satu sama lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here