KUCHING, 6 Mei  — Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini melancarkan perkhidmatan bank bergerak yang bertujuan memberikan perkhidmatan perbankan kepada penduduk di kawasan luar bandar Sarawak.

Empat bank tempatan yang terlibat dalam skim itu ialah Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN), Agro Bank dan RHB Bank.

Bercakap kepada media selepas majlis pelancaran itu, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1.6 juta untuk skim tersebut termasuk peruntukan RM200,000 kepada setiap bank untuk subsidi pembelian kenderaan kalis peluru yang setiap sebuah berharga RM500,000.

Katanya perkhidmatan yang disediakan oleh empat bank peserta program itu adalah sama dengan perkhidmatan perbankan yang disediakan di premis bank masing-masing di kawasan bandar termasuk perkhidmatan pengeluaran wang melalui mesin ATM, permohonan pinjaman dan kad kredit.

Beliau berkata kerajaan negeri berterima kasih kepada bank-bank tersebut yang telah menyahut seruan kerajaan Sarawak untuk menyertai program itu dan masih menerima permohonan bank-bank lain yang berminat untuk menyertainya.

“Perkhidmatan perbankan bergerak ini sudah pasti akan memudahkan dan meringankan beban penduduk di luar bandar kerana mereka tidak perlu lagi pergi jauh ke bandar untuk mendapatkan perkhidmatan ini,” katanya.

Abang Johari berkata di bawah perkhidmatan bank bergerak ini, BSN akan menyediakan perkhidmatan tersebut di kawasan Sungai Asap dan Sebauh manakala Bank Rakyat di Sebauh, Tatau, Sungai Asap dan Belaga.

“RHB Bank akan memberikan perkhidmatan di Asajaya, Sadong Jaya, Balingian, Oya dan Igan manakala Agro Bank menyediakan perkhidmatan di Padawan, Bau, Lundu, Sematan, Lingga, Pantu, Tebedu, Asajaya dan Sebuyau, iaitu kawasan pertanian dan pelancongan di negeri ini,” katanya.

Katanya Agro Bank dan RHB Bank akan meningkatkan lagi kemudahan infrastrukturnya dan membangunkannya untuk aktiviti pertanian dan pelancongan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here