KUALA LUMPUR, 6 Mei– Kerajaan akan melaksanakan misi repatriasi khusus bagi membawa pulang rakyat Malaysia termasuk petugas (home based staff) pelbagai agensi serta tanggungan mereka yang berada di wilayah utara dan barat India.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata misi yang dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Kesihatan itu akan menggunakan pesawat sewaan khas dari Malaysia.

“Pesawat itu akan berlepas ke New Delhi dan Mumbai, India dalam masa terdekat sebaik sahaja urusan berkaitan termasuk kelulusan penerbangan daripada Kerajaan India diperolehi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hishammuddin menegaskan keputusan itu dibuat secara bersama melibatkan pelbagai agensi selain mengambil kira maklumat hasil pemerhatian dan analisa oleh pejabat-pejabat perwakilan Malaysia di India.

Rakyat Malaysia yang dibawa pulang menerusi misi itu diwajibkan menjalani ujian COVID-19 sebelum berlepas dari India dan sebaik tiba di Malaysia.

“Selain itu, mereka juga wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Hishammuddin berkata rakyat Malaysia di wilayah-wilayah utara dan barat India yang berhasrat menyertai misi itu dinasihatkan agar mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai melalui e-mel mwdelhi@kln.gov.my atau mwmumbai@kln.gov.myselewat-lewatnya pada 5 petang 7 Mei (Jumaat) waktu India.

Beliau turut mengingatkan semua rakyat Malaysia di India khususnya di wilayah utara dan barat agar sentiasa berhubung dengan pihak suruhanjaya tinggi dan konsulat jeneral bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan misi itu atau bagi mendapatkan sebarang bantuan konsular.

Hishammuddin menjelaskan, misi repatriasi itu tidak melibatkan wilayah selatan dan timur India memandangkan situasi di wilayah-wilayah berkenaan masih terkawal.

Tambahnya Kementerian Luar melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai akan terus memantau situasi di wilayah-wilayah berkenaan dan membuat penilaian berterusan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di sana terus dijaga.

“Misi repatriasi ini merupakan usaha dan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara sentiasa dilindungi,” katanya.

Hishammuddin berkata misi yang sama pernah dilaksanakan semasa penularan pandemik COVID-19 tahun lepas melibatkan repatriasi rakyat Malaysia dari Wuhan, China, Iran dan Itali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here