KUALA LUMPUR, 10 April – Misi perdagangan dan pelaburan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) ke China telah berjaya menjana potensi nilai eksport RM3.2 bilion, meningkat berbanding RM2.44 bilion yang diumumkan baru-baru ini. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata nilai potensi eksport itu disumbangkan oleh beberapa sektor ekonomi negara seperti sektor perladangan, kelapa sawit serta elektrik dan elektronik (E&E). 

“Ini merupakan satu pencapaian yang agak memberangsangkan untuk peniaga-peniaga kita khususnya syarikat-syarikat Malaysia yang ingin mengeksport ke luar negara, terutamanya negara China,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan eksport berlaku apabila misi tersebut diteruskan ke Hong Kong, yang mana Press Metal Aluminium Holdings Bhd mendapat komitmen daripada syarikat negara itu untuk membeli hasil aluminium mereka. 

Pada 4 April lalu, Press Metal memeterai jualan eksport segera jongkong aluminium bernilai RM110 juta dengan Daching Enterprises Ltd (Daching) dari Hong Kong, selain menandatangani janji niaga eksport selama lima tahun bagi produk yang sama bernilai RM670 juta.

“Selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang dari lawatan rasminya ke China, kita teruskan misi ke Hong Kong dan memperoleh komitmen tambahan dari China dan Hong Kong,” katanya. 

Selain itu, Tengku Zafrul berkata kerajaaan melalui Miti dan agensi-agensi berkaitan akan melakukan pemantauan dalam merealisasikan potensi pelaburan dan perdagangan yang diterima dari China. 

“Kita juga melaporkan kepada Kabinet mengenai pelaburan-pelaburan yang telah dikenal pasti dan setiap suku tahun, kita membuat pengumuman mengenai pelaburan yang telah direalisasikan dan diberi komitmen,” jelas beliau. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here